FELO Penyelidik Utama Institut Alam Dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong mahu semua pihak menerima tulisan khat tanpa syarat.

Beliau menolak andaian bahawa pengenalan pembelajaran tulisan khat merupakan satu cara halus untuk memelayu atau mengislamkan kaum Cina atau India, lapor Malaysiagazzete.

Menurut beliau kefahaman itu sengaja diperbesar-besarkan oleh DAP kerana parti itu memperjuangkan konsep Malaysia Malaysian.

“Pada saya penentangan ini merupakan satu manifestasi perpecahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Sudah berlaku defisit kepercayaan, masing-masing tidak percaya antara satu sama lain.

“Bukan Melayu tidak percaya orang Melayu, begitu juga sebaliknya. Jadi apa sahaja yang dilakukan akan dilihat negatif.

“Dulu saya amat bimbang perkara ini akan berlaku, sekarang sudah nyata berlaku sehingga perkara murni yang hendak dibuat tidak lagi dipercayai.

“Perpecahan dalam kalangan bangsa di Malaysia berlaku dalam keadaan amat dahsyat.

“Negara akan hancur jika kita sebagai rakyat tidak berkongsi hala tuju, aspirasi yang sama,” ujarnya.

Kok Seong berkata, orang Melayu telah melangsaikan bahagian mereka dalam kontrak sosial dengan membenarnya penggunaan bahasa Cina, sekolah Cina digunakan dalam pendidikan vernakular, berbanding negara-negara di Asia Tenggara yang lain.

Di Indonesia, Singapura dan Filipina tidak ada sekolah-sekolah tertentu seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia.

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita sama sekali jangan lupa tentang kontrak sosial yang dipersetujui semasa kemerdekaan dahulu.

Dalam perkembangan lain, DAP mula mengendurkan serangan mereka terhadap pengenalan tulisan jawi ini.

Lim Kit Siang dalam suatu kenyataannya menyatakan bahawa dia juga belajar jawi dan dan masih kekal sebagi orang Cina.

Akhir-akhir ini banyak pendirian DAP menyebabkan kemarahan orangMelayu Islam yang merupakan majoriti penduduk negara ini.

Keadaan ini tentunya memberi kesan tidak baik kepada masa depan parti itu dalam PRU15 akan datang. – 5 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.