BUAT pertama kalinya, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal memohon maaf atas insiden pencemaran udara yang berulang kali menimpa penduduk Pasir Gudang.

Namun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan permohonan maaf MB Johor itu sudah terlambat.

“Akhirnya, untuk pertama kali kita semua mendengar permohonan maaf dan lafaz kesal oleh MB Johor berhubung dengan insiden pencemaran berulang-ulang kali di Pasir Gudang,” kata Khalid dalam suatu kenyataan.

Selain memohon maaf, Khalid mahu kerajaan negeri mempunyai pelan tindakan susulan.

Antara pelan tersebut termasuklah kemungkinan memindahkan kilang-kilang dari Pasir Gudang ke kawasan lain.

Khalid juga mempersoalkan apakah ada pampasan kepada mangsa terlibat dan apakah mekanismanya, juga pihak manakah yang akan menguruskannya, kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

“Selaku penduduk Pasir Gudang, biarpun saya kesal dan berasakan bahawa semua itu sudah terlambat.”

“Namun, saya percaya bahawa setidak-tidaknya kini MB Johor bersedia untuk berhadapan dan menguruskan perkara ini dengan cara yang lebih terbuka,” kata Khalid.

Selain itu Khalid juga mahu tahu bilakah kerajaan negeri akan mendedahkan nama pihak yang dituduh bertanggungjawab dalam pencemaran udara itu.

Sehingga kini, pihak kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri tidak pernah mendedahkan nama-nama syarikat atau kilang yang diambil tindakan.

Akibat tiada tindakan yang tuntas daripada pihak kerajaan negeri dan pusat maka seramai Seramai 160 mangsa yang terjejas membawa kes itu ke mahkamah.

Tuntutan saman itu melibatkan dua kumpulan plaintif iaitu kumpulan pelajar dari SMK Pasir Putih dan SMK Tanjung Puteri Resort dengan 36 pelajar, 120 nelayan dan enam orang awam.

Antara pihak yang disaman termasuklah Menteri Besar Johor, Kerajaan Negeri Johor, Exco Alam Sekitar, Jabatan Alam Sekitar, Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPS) serta syarikat terlibat. – 5 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.