KES penghinaan terhadap Islam menjadi contoh Pakatan Harapan gagal mengekang isu sensitif melibatkan agama dan kaum di negara ini, kata Tengku Razaleigh Hamzah.

Berdasarkan perkembangan terbaru, polis tidak menolak kemungkinan pengguna akaun Facebook bernama Wendy Loong itu menggunakan akaun palsu.

Wendy sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila memuatnaik gambar yang menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam.

Menurut Tengku Razaleigh, situasi demikian berlaku kerana tiada parti dalam kerajaan yang mempunyai sokongan kuat untuk membentuk kerajaan sehingga menyebabkan berlaku kecelaruan.

“Kita rasa kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai keupayaan untuk mengawal isu-isu seperti ini kerana kerajaan sekarang ini adalah kerajaan ‘tergantung’ tidak ada satu parti yang mempunyai majoriti mudah dalam Parlimen.

“Maka tidak ada ketentuan bagaimana hendak menentukan arah tuju pemerintahan, baik di negeri atau di peringkat Persekutuan,” kata Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu.

Sehubungan itu, Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li, menyeru ahli UMNO supaya bangkit menentang individu yang melakukan provokasi agama dan bangsa termasuk penghinaan terhadap institusi Raja-Raja.

“Ada pihak-pihak yang cuba menguji keutuhan dan kekuatan rakyat. Ada yang cuba menghasut dari segi agama, kaum dan sebagainya. Ini semua ujian dan menjadi cabaran kepada kita.

“Apakah kita boleh membiarkan semua ini? Baru-baru ini ada yang menghina nabi kita. Kita patut bertegas menentang mereka tidak kira datang dari mana.

“Kita juga tidak boleh biarkan mereka memperkecilkan keistimewaan-keistimewaan yang telah dijamin oleh perlembagaan,” ujarnya. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.