KERAJAAN akan berbincang lebih lanjut berhubung isu pelaksanaan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat pada tahun hadapan, Kata Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Sabtu lepas, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun Empat boleh diteruskan dan bantahan sesetengah pihak mengenai perkara itu hanya melibatkan sebahagian kecil masyarakat.

Sehubungan itu, Wan Azizah berkata, beliau mengambil maklum kenyataan Perdana Menteri itu namun akan berjumpa dengan beliau untuk berbincang lebih mendalam mengenai perkara itu.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, pihaknya juga sedar tentang keresahan masyarakat Cina apabila kerajaan akan melaksanakan perkara itu pada tahun depan.

“Saya mengambil maklum mengenai perkara itu dan saya akan bincang dengan perdana menteri, walaupun beliau telah mengeluarkan kenyataan kita akan berjumpa dan berbincang dengan lebih mendalam.

“Kita akan membincangkannya lebih lanjut, tetapi sebenarnya ia adalah seni dan ia tidak membabitkan elemen keagamaan,” katanya.

Isu penulisan khat dan jawi di sekolah vernakular mengundang bantahan kumpulan pendesak Cina dan DAP kerana mendakwa subjek itu membebankan pelajar dan guru.

Mereka juga mendakwa penulisan khat dan jawi tidak membawa sebarang makna kepada pelajar kerana tidak boleh digunakan selepas tamat persekolahan.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.