TIMBALAN Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man menyarankan kesemua menteri DAP meletak jawatan.

“Saya sarankan semua wakil DAP dalam kabinet meletakkan jawatan susulan dua isu yang disuarakan bercanggah dengan pendirian kerajaan mutakhir ini.

“Pertama ialah isu ekstradisi Dr Zakir Naik dan kedua ialah isu pelaksanaan tulisan khat dalam subjek Bahasa Melayu Tahun Empat,” kata Tuan Ibrahim dalam suatu kenyataan.

Menurut Tuan Ibrahim, isu ekstradisi Zakir Naik telah dijelas dan dijawab dengan baik oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), tetapi tetap ditekan oleh DAP.

Begitu juga dengan isu pelaksanaan tulisan khat. Walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan dasar itu tetap diteruskan, namun masih wujud penentangan keras dari DAP.

“Hal ini jelas menunjukkan ketidak serasian dalam kalangan komponen PH terhadap dasar-dasar kerajaan,” kata Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Bagi Tuan Ibrahim, Perdana Menteri tidak boleh membiarkan kemelut ini berpanjangan kerana ia akan mengganggu perjalanan pentadbiran kerajaan.

“Saya juga telah menegaskan sebelum ini bahawa banyak agenda kerajaan akan disabotaj oleh komponen PH sendiri kerana tiada tanggungjawab kolektif dalam kalangan mereka. Perkara ini akan mempengaruhi sentimen dan keyakinan pihak luar terhadap negara.”

“Maka, saya sarankan agar mana-mana anggota kabinet yang tidak bersetuju dengan keputusan kerajaan perlu mengundurkan diri agar tidak menjadi duri dalam Kabinet,” kata Tuan Ibrahim lagi.

Tuan Ibrahim berpendapat negara perlukan Kabinet yang lebih kuat, bersatu hati dan lebih kukuh untuk melonjakkan Malaysia ke arah yang lebih baik.

Oleh itu, beliau menganggap DAP hanya mementingkan kepentingan partinya dan tidak mahu mengangkat semangat tanggungjawab kolektif dalam kabinet.

Sebelum Isu Zakir Naik dan seni khat ini DAP sebelum ini pernah menyerang anggota Kabinet lain dalam isu matrikulasi dan kuota bumiputera dalam kerajaan.

Itu tidak termasuk campurtangan DAP dalam isu Wan Ji Wan Hussin yang dijatuhkan hukuman kerana menghina institusi raja-raja dan pelbagai perkara lain yang berkaitan agama Islam. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.