PRESIDEN Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai menggesa Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching meletak jawatan.

Dominic menyifatkan Ahli Parlimen Kulai itu sebagai tidak layak untuk mengurus pendidikan masyarakat Cina.

Malah jelas Dominic, Nie Ching ketika ini juga dilihat semakin kehilangan kepercayaan dan sokongan serta telah dianggap ‘menjual’ masyarakat Cina.

Namun, pada masa yang sama, Dominic menyatakan Parti Gerakan tidak sesekali menentang seni khat Jawi.

Yang ditentang ialah dasar Kementerian Pendidikan yang seolah-olah memaksa pelajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT).

Dominic berpendapat, setiap pelajar seharusnya diberikan kebebasan sama ada mahu mempelajari seni khat Jawi itu ataupun tidak.

Sejak pengumuman seni khat dan tulisan dalam buku teks Tahun Empat Bahasa Melayu, sebahagian masyarakat Cina khusus penyokong DAP membantah.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menegaskan pelaksanaan pengenalan tulisan khat tetap diteruskan walaupun mendapat tentangan pemimpin DAP dan pertubuhan mewakili pendidikan Cina.

Menurut Tun Mahathir lagi, pihak terbabit tidak mempunyai justifikasi memandangkan kerajaan tidak pernah menafikan hak penggunaan tulisan bahasa Cina di negara ini dan sentiasa percaya kepada dasar kemakmuran negara yang berbilang bangsa.

Katanya, pengenalan tulisan yang memiliki nilai seni itu juga sesuai dengan keistimewaan diperuntukkan kepada kaum Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.

Malah di sesetengah negara termasuklah Indonesia, Filipina dan Thailand menetapkan hanya bahasa ibunda sebagai bahasa rasmi walaupun memiliki pelbagai bangsa di dalam sebuah negara, malah tulisan Cina tidak dibenarkan. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.