VETERAN parti DAP, Lim Kit Siang terus menunjukkan sikapnya yang berbelit apabila cuba menyalahkan konspirator dalam isu pelaksanaan pembelajaran seni khat dan jawi di sekolah Cina dan Tamil.

Terbaru Kit Siang mengeluarkan satu kenyataan yang berunsurkan amaran kepada rakyat kononnya ada pihak yang cuba memecahbelahkan kaum, bangsa dan agama.

“Rakyat harus berhati-hati dan jangan terpedaya dengan konspirator yang cuba memasang perangkap apabila cuba membuat permasalahan perkauman dan keagamaan.

“Pihak konspirator ini objektif mereka adalah untuk menimbulkan syak wasangka dan kebencian bagi kepentingan politik,” katanya.

Selain daripada itu, Kit Siang juga mendakwa golongan konspirator ini cuba memainkan taktik berbunga dengan menjadikan isu berbilang bangsa, berbilang kaum, berbilang budaya dan berbilang agama ini sebagai strateginya.

“Belajar tulisan jawi dan khat ini tidak akan menjadikan seorang Cina itu akan lari dan bertukar kepada agama lain.

“Saya dulu pun pernah belajar tulisan itu ketika ditahan tetapi ia tidak menjadikan saya Melayu pun,” katanya.

Baru-baru ini, Kit Siang pernah menuduh Islam sebagai kleptokrasi dan ingin melakukan perdebatan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Kit Siang pada ketika itu mengambil pendekatan luar biasa apabila berkeras mahu menganjurkan debat umum dengan tajuk ‘Islam bukan kleptokrasi’ walaupun sudah mengakui kesalahannya.

Najib menggesa Kit Siang supaya berhenti untuk menuduh beliau dan memburukkan mana-mana agama.

Najib turut menyelar Kit Siang bahawa beliau tidak mempunyai hak untuk membuktikan Islam atau mana-mana agama ialah atau bukan kleptokrasi.

“Sudah-sudahlah Kit Siang. Hentikanlah memainkan atau mahu memburukkan mana-mana agama terutama Islam demi nafsu politik anda.

“Agak menarik sebenarnya, biarpun Julai belum sampai ke penghujung, Kit Siang sudah mengeluarkan 26 kenyataan dalam bulan ini sahaja untuk menyerang saya.

“Dia patut hentikan obsesi terhadap saya kerana saya bukan lagi Perdana Menteri ataupun presiden BN.

“Nasihat saya, lebih baik anda menumpukan perhatian bagi menjelaskan mengapa masih banyak janji manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) tidak ditunaikan dan beri alasan munasabah mengapa rakyat tidak perlu rasa tertipu.

“Hanya tinggal 20 hari lagi sebelum genap 100 hari sebelum tarikh tamat janji manifesto PH,” katanya.

Kit Siang pada ketika itu, turut mencabar Najib yang didakwanya sebagai pemimpin yang gagal mendidik rakyat negara ini berhubung ‘kleptokrasi’ berdebat dalam forum terbuka ‘Islam bukan Kleptokrasi.”

“Saya sudah mencabar sesiapa sahaja, terutama pemimpin UMNO dan PAS, yang mendakwa saya menyamakan Islam dengan kleptokrasi untuk tampil berdebat dengan berani dan jelas kepada rakyat Malaysia berhubung perkara ini.

“Mereka boleh tunjukkan kepintaran mereka dan moral, yang saya tidak pernah meremehkan Islam atau agama lain.

“Najib bertindak seorang diri menyerang peribadi beliau kerana tidak lagi mendapat sokongan kroni untuk menepis semua tuduhan.

“Saya mencabar Najib berdebat di forum terbuka, ‘Islam bukan kleptokrasi’. Terima cabaran dan wakil kami akan menentukan tempat, tarikh dan masa untuk berdebat,” katanya.

Persoalannya, kenapa Kit Siang menimbulkan isu tulisan jawi adalah merupakan taktik konspirator? – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.