M. KULASEGARAN mahu membenarkan pelarian yang berada di negara ini bekerja sedangkan ramai lagi graduan tempatan yang masih belum mendapat peluang pekerjaan.

Menteri Sumber Manusia itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengabaikan janji manifesto untuk membantu pelarian tersebut.

“Kerajaan belum membuat keputusan muktamad dalam soal membenarkan pelarian dari luar negara untuk bekerja di Malaysia. Itulah keputusannya setakat ini.

“Tetapi ada suara meminta kerajaan menimbang semula dan kita tidak patut mengabaikan apa yang telah disebut dalam manifesto PH sendiri.

“Secara peribadi, ya saya fikir kita patut benarkan mereka bekerja di sini, sekurang-kurangnya sehingga mereka boleh berpindah ke negara ketiga,” katanya.

Selain itu, Kulesagaran menyatakan kerajaan akan mengesahkan status pelarian ini terlebih dahulu samada mempunyai kad Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) sebagai pelarian sebelum memberi kebenaran untuk mereka bekerja.

“Kita melihat anak-anak pelarian tidak mendapat pendidikan asas, ini pastinya satu penafian terhadap hak asasi.

“Saya berharap selepas pelarian dibenarkan untuk bekerja, kerajaan akan berusaha ke arah membolehkan anak-anak mereka ke sekolah,” katanya. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.