SETAKAT 14 Januari 2019, Tabung Harapan Malaysia sudah mengutip RM202,716,775.10 apabila ia dilancarkan pada 30 Mei 2018.

Alasan Pakatan Harapan (PH) untuk menubuhkan tabung ini kononnya mahu memulihkan hutang negara.

Tapi kini sudah lebih setahun berlalu, khabar tentang tabung itu semakin sepi diperkatakan.

Hal itu mengundang perhatian Exco Pemuda UMNO, Datuk Najmil Faiz Mohamed Aris yang menggesa kerajaan PH memberi penjelasan tentang tabung itu.

Najmil berkata, sehingga ke hari ini pemimpin PH terutamanya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak mengeluarkan kenyataan rasmi ke manakah perginya wang tersebut.

Menurut beliau Tabung Harapan Malaysia merupakan salah satu inisiatif yang lahir daripada retorik politik PH yang mendakwa Malaysia telah dibebani hutang yang ditinggalkan kerajaan lepas di mana negara berada di ambang muflis.

“Tabung ini dilancarkan pada 30 Mei 2018 sejurus PH memerintah negara dengan mengutip derma daripada rakyat atas alasan memulihkan hutang negara seperti yang didakwa PH.

“Sehingga hari ini tak ada apa-apa cerita dan tarikh akhir 14 Januari lalu PH memaklumkan jumlah kutipan Tabung Harapan Malaysia telah mencecah sebanyak RM202,716,775.10 dan status dana ini perlu dihebahkan kepada umum kerana ianya melibatkan wang rakyat.

“Hutang negara masih tidak susut, malah telah meningkat dengan mendadak sehingga RM1.1 trilion atau 75.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara setakat akhir 2018,” katanya menurut UMNO Online.

Tegas beliau tiada inisiatif yang dilakukan kerajaan PH untuk mengatasi masalah hutang negara dan pada masa yang sama menambahkan lagi hutang negara dengan pinjaman dari negara luar seperti Bon Panda dan Bon Samurai.

Sehubungan itu tegas beliau lagi Kementerian Kewangan perlu menjelaskan status penggunaan dana Tabung Harapan Malaysia ini kepada masyarakat umum khasnya para penyumbang kerana ianya melibatkan soal intergriti dan ketelusan.

“Kerajaan PH adalah punca utama kepada peningkatan hutang negara sehingga menyebabkan ketidakstabilan ekonomi domestik serta menggunakan isu hutang negara sebagai retorik politik untuk kepentingan parti,” ujarnya lagi. – 5 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.