TULAR di media sosial suatu surat arahan supaya bunyi pembesar diperlahankan ketika azan.

Surat bertarikh 25 Julai 2019 itu dikeluarkan oleh Pejabat Kadi Daerah Pontian kepada pengerusi dan pegawai masjid, Masjid Nurul Iman, Kampung Melayu, Mukim Api-Api, Pontian, Johor.

Surat itu ditandatangani sendiri oleh oleh Kadi Pontian, Mohamad Khalil Md Noor.

Namun, tidak pula dinyatakan punca-punca arahan itu dikeluarkan.

Berdasarkan surat tersebut, arahan memperlahankan pembesar suara itu dibuat susulan aduan lisan seseorang pada 23 Julai kepada Imam Daerah Pontian.

“Setelah diteliti dengan lebih mendalam akan perkara ini, demi keharmonian semua, maka pihak saya mengarahkan pihak tuan agar menyederhanakan kekuatan pembesar suara ketika azan dan penggunaan suara untuk segala aktiviti hanya di bahagian dalam sahaja yang dipasang,” kata Mohamad Khalil dalam surat tersebut.

Namun, menurut Mohamad Khalil surat berkenaan khusus kepada masjid berkenaan sahaja. Tidak membabitkan masjid-masjid lain.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Khalil dalam Facebook menyatakan bahawa pendekatan dakwah perlulah bersederhana dan elakkan dikatakan melampau.

“Mungkin kita tidak sedar yang kita ini bawa mesej Islam. Kalau kita menggunakan pendekatan keras dan melampau, bolehkah kita menyebabkan Islam itu dipandang baik?,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Khalil mengingatkan bahawa mengalah itu bukanlah bererti kalah. Dalam satu keadaan, mengalah itu menyebabkan orang memandang mulia kepada umat dan Islam itu terus dihormati. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.