PADA 24 Disember 2014, bekas pegawai AmBank, Joanna Yu dan ahli perniagaan dalam buru, Jho Low berkomplot untuk memindahkan wang berjumlah RM27 juta ke akaun Datuk Seri Najib Razak.

Pada ketika itu, bekas Perdana Menteri itu berada di Hawaii untuk bertemu Presiden Amerika Syarikat (AS) pada ketika itu, Barack Obama.

Segalanya komplot Joanna dan Jho Low bermula menerusi komunikasi dalam Blackberry Messenger (BBM) .

Pada pukul 9.36 pagi hari tersebut, Joanna mencadangkan kepada Jho Low untuk meminta Najib mengeluarkan cek berjumlah RM27 juta.

Namun Jho Low tidak bersetuju dengan cadangan Joanna memandangkan Najib masih berada di Hawaii dan buku cek beliau di Kuala Lumpur.

Kemudian mereka berdua bersetuju membuat transaksi menerusi sistem pemindahan Rentas.

Pada pukul 1.30 petang, Jho Low menyuruh Joanna menulis surat arahan pemindahan dan menghantarnya kepada emel nik.faisal.src.gmail.com milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International Sdn Bhd, Nik Faisal Ariff Kamil.

Joanna menyiapkan surat itu pada pukul 1.46 petang.

Surat arahan pemindahan itu sepatutnya ditandatangani, diimbas dan dihantar semula oleh Najib, tetapi ia dihantar kepada Nik Faisal yang kemudiannya menghantar semula kepada Joanna menerusi emel.

Pada pukul 2.30 petang, Jho Low menghantar mesej BBM untuk memaklumkan Joanna bahawa pegawai AmBank itu akan menerima surat salinan arahan pemindahan yang mempunyai tandatangan Najib.

Nik Faisal kemudiannya menghantar emel salinan surat yang lengkap dengan tandatangan Najib kepada Joanna pada pukul 4 petang hari tersebut.

Wang RM27 juta itu akhirnya dipindahkan dari akaun Najib ke akaun syarikat Putra Perdana Development (PPD) pada 29 Disember 2014, lima hari selepas mereka bertiga berkomplot.

Semua komplot ini didedahkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International semalam.

Joanna merupakan saksi ke-54 kes itu dan akan terus memberi keterangan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini.

Najib kini berdepan tujuh dakwaan termasuk pengubahan wang haram, salah guna kuasa dan pecah amanah melibatkan wang RM42 juta milik SRC International.

Wang RM27 juta yang dipindahkan oleh komplot Joanna, Jho Low dan Nik Faisal itu didakwa sebagai sebahagian dana SRC International.

Hairannya jumlah yang sama dipindahkan dari akaun syarikat PPD ke akaun Najib pada Julai 2014, setahun sebelum komplot itu berlaku.

Persoalannya, kenapa Najib didakwa dengan tuduhan tersebut sedang wang berkenaan langsung tidak digunakan beliau dan ia telah dikembalikan ke akaun asalnya? – NTHQiBord, 6 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.