SEORANG penjaja dijatuhi hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur selepas didapati bersalah menghina Nabi Muhammad SAW dan agama Islam serta menghina kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, lapor Bernama.

Hakim MM Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai, 43, selepas dia mengaku bersalah ke atas kelapan-lapan pertuduhan yang dihadapinya pada 18 Jun lepas dan hari ini ditetapkan untuk mahkamah menjatuhkan hukuman.

“Tindakan tertuduh menghina kematian Muhammad Adib dikala semua orang sedang meratapi dan berkabung di atas kematiannya juga tidak dapat diterima oleh mahkamah.

“Perbuatan dilakukan tertuduh adalah melampau dan melebihi had kebebasan bersuara,” kata hakim.

Hakim menjatuhkan hukuman penjara antara tujuh bulan hingga 30 bulan bagi kelapan-lapan pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 6 Mac lepas.

Mengikut pertuduhan pertama, Chow didakwa menggunakan aplikasi Twitter dengan akaun profil ‘Alvin@Alvin15358333’, membuat kenyataan berhubung kematian Muhammad Adib, yang mungkin mengapi-apikan kaum Melayu dengan bukan Melayu pada 8.07 pagi, 13 Februari lepas.

Kesalahan ini mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Chow Mun Fai turut dituduh atas tiga pertuduhan memuat naik hantaran yang menghina Nabi Muhammad SAW, yang mungkin menyebabkan suasana tidak harmoni di antara penganut Islam dan bukan Islam, di laman media sosial yang sama pada jam 2.29 petang dan 7.06 petang, 2 Mac dan 13 Mac lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 298A(1)(a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun.

Selain itu Chow Mun Fai juga menghadapi empat lagi pertuduhan iaitu secara sedar menggunakan profil Twitter sama telah membuat penghantaran komunikasi bersifat jelik, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada masa dan tempat sama.

Bagi pertuduhan-pertuduhan tersebut, dia didakwa di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.