SATU lagi petisyen dibuka untuk mendesak Peguam Negara, Tommy Thomas meletak jawatan kerana memalukan sistem keadilan negara dan memburukkan imej kerajaan Malaysia.

Petisyen itu dimulakan oleh Aktivis Belia Malaysia (ABM) sejak 2 Ogos 2019 dengan tajuk ‘Tommy Thomas: Peguam Negara Paling Teruk Dalam Sejarah Malaysia.’

Setakat pukul 3 petang hari ini (6 Ogos 2019) sudah 10,859 tandatangan dikumpulkan.

Menurut ABM, petisyen itu dimulakan kerana campur tangan Tommy dalam prosiding inkues Allayarham Muhammad Adib Mohd Kassim yang disifatkan memburukkan imej Pejabat Peguam Negara.

ABM merujuk tindakan Tommy memecat peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor ketika prosiding inkues itu memasuki fasa akhir selepas beberapa bulan berlangsung.

“Tommy memberi alasan kononnya wujud elemen ‘konflik kepentingan’ dan menjadikan Syazlin sebagai mangsa.

“Namun Tommy tidak jelaskan tentang kecenderungan Jabatan Peguam Negara yang seolah-olah telah lebih awal memutuskan ‘kematian Allahyarham Muhammad Adib bukan sebab dipukul’,” kata ABM.

ABM turut menyenaraikan 11 sebab Tommy perlu letak jawatan sebagai Peguam Negara dan antaranya termasuk kredibilitinya diragui, membelakangi konsep rule of law (kedaulatan undang-undang) dan tidak menghormati raja-raja.

Sebelum ini dua petisyen turut dilancarkan untuk mendesak Tommy meletak jawatan.

Petisyen pertama dibuka pada 6 Julai 2018 kerana kelemahan Tommy bercakap dalam Bahasa Melayu manakala petisyen kedua diwujudkan pada Mei 2019 oleh Gerakan Ummah kerana campur tangan Peguam Negara menggugurkan Syazlin. – NTHQiBord, 6 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.