NASIB pekebun kecil semakin malang apabila kerajaan mengumumkan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada golongan itu dengan alasan mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Perkara itu diumumkan Menteri Industri Utama oleh Teresa Kok Suh Sim dan mengundang kritikan daripada pemimpin UMNO.

Naib Ketua Pemuda UMNO (Terengganu), Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris berkata pengumuman Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim itu adalah zalim dan tidak adil.

Jelasnya, industri sawit itu telah dikenal pasti sebagai salah satu Bidang Utama Ekonomi Baru (NKEA) dalam Program Transformasi Ekonomi yang boleh meningkatkan pendapatan negara menjelang tahun 2020.

“Pekebun kecil merupakan penduduk luar bandar yang wajar dibantu secara berterusan untuk meningkatkan sosioekonomi mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

Semasa era permerintahan kerajaan Barisan Nasional terdahulu iaitu pada tahun 2018, kerajaan telah memperuntukkan RM140 juta untuk pembangunan dan penanaman semua kelapa sawit dan RM200 juta untuk getah.

“Sektor pertanian adalah sumber ketiga pertumbuhan untuk ekonomi dan dibawah dasar kerajaan Barisan Nasional, industri sawit dijangka melonjak dari RM53 bilion pada 2009 ke RM178 bilion menjelang 2020,” katanya.

Namun kerajaan PH kini dilihat semakin meminggirkan kebajikan golongan pekebun kecil dan harga komoditi utama Malaysia itu semakin hari semakin susut.

“Kerajaan PH seolah tiada usaha untuk menstabilkan harga komoditi utama itu.

“Malah, pekebun kecil ini dilihat terpaksa membuat pinjaman kepada kerajaan untuk menanam semula melalui Skim Pinjaman Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS).

“Kini bantuan tanaman semula pula dihapuskan oleh kerajaan, jadi di mana janji PH untuk menjaga kebajikan rakyat khasnya pekebun kecil dan penduduk luar bandar yang semakin hari semakin tidak terbela dibawah pemerintahan kerajaan PH ini,” katanya.

Oleh itu, pemuda UMNO mendesak kerajaan agar mengembalikan semula bantuan tanaman ini kepada rakyat khususnya kepada pekebun kecil.

“Langkah itu adalah untuk membela nasib mereka.

“Mereka bukan tauke-tauke besar yang mendapat pendapatan berpuluh ribu, jadi wajarkah skim bantuan ini tidak dilaksanakan,” katanya. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.