SETIAUSAHA Agung DAP, Lim Guan Eng menyatakan laporan sebuah akhbar berbahasa Cina menjadi punca keresahan masyarakat bukan Melayu terhadap pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi.

“Walaupun seni khat atau jawi adalah sumber kepada bahasa Bahasa Malaysia, laporan berita itu berjaya menimbulkan kebimbangan bahawa karakter dan identiti sekolah-sekolah Cina dan Tamil akan terjejas,” katanya lagi dalam Facebook.

Kekecohan ini timbul apabila baru-baru ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menyatakan tentang penggunaan tulisan jawi dalam buku teks di semua sekolah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Hakikatnya tulisan jawi atau seni khat dalam buku teks sudah digunakan sejak tahun 2016.

Berdasarkan keputusan pada tahun 2016, seni khat akan dimasukkan ke dalam buku teks Bahasa Melayu pelajar Tahun Empat menjelang 2020.

Oleh itu, pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi ini bukan suatu isu yang patut diperbesarkan.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menafikan partinya berpecah akibat isu pelaksanaan seni khat ini.

Penafian itu dibuat selepas suatu mesyuarat yang membabitkan semua wakil rakyatnya malam tadi berkaitan isu ini di pejabat DAP, lapor Sinar Harian.

“DAP akan menguruskan atau menangani perkara ini secara berpasukan kerana ada ura-ura kata DAP ada perpecahan, (tetapi) semua masih bersatu-padu. Kita telah mendengar banyak pandangan dan akan buat kenyataan secara rasmi kelak,” katanya.

Sebelum ini, 138 pemimpin akar umbi dan 13 Adun DAP membantah pelaksanaan seni khat dan tulisan jawi ini. – 6 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.