PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dilihat dalam keadaan terdesak untuk menjadi Perdana Menteri sehingga terpaksa menggunakan pihak ketiga mendesak Tun Mahathir berundur.

Terkini, tiga badan bukan kerajaan (NGO) mahu Tun Dr Mahathir Mohamad menetapkan satu tarikh peralihan kuasa yang jelas.

Tarikh yang dicadangkan setahun dari sekarang hingga selewat-lewatnya 9 Mei 2021.

NGO yang terdiri daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) bersama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan Gabungan Bertindak Malaysia berkata penetapan tarikh itu untuk mengelakkan pelbagai khabar angin.

Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann selaku jurucakap NGO berkenaan juga berjanji tidak akan menganjurkan himpunan Bersih 6 bagi menuntut Perdana Menteri mengundurkan diri.

Thomas Fann turut mencadangkan supaya Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang ditetapkan bagi melancarkan peralihan kuasa.

Menurutnya pelan peralihan yang jelas akan dapat memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan terpecahnya gabungan PH.

Sebelumnya, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan supaya Tun Mahathir terus kekal sebagai Perdana Menteri sehingga tamat penggal.

Pendirian Abdul Hadi ini kemudiannya disokong oleh Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali.

Beberapa minggu lalu, suatu perjumpaan tertutup diadakan antara wakil PAS, UMNO, GPS dan beberapa orang menteri kabinet dengan Tun Mahathir.

Tiada sebarang pengumuman dibuat tetapi penganalisis politik menjangkakan pertemuan itu ada kaitan dengan pendirian yang mahu Tun Mahathir terus kekal. – 7 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.