STATISTIK ekonomi dan aras kemiskinan menunjukkan golongan Bumiputera masih terbelakang berbanding kaum lain, kata Parti PUTRA untuk menafikan dakwaan Tun Daim Zainuddin bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu dihapuskan untuk keadilan semua kaum.

Ahli Dewan Tertinggi PUTRA, Izhar Kahar berkata, rakyat perlu menolak saranan Tun Daim yang mahu dasar intervensi untuk kaum Bumiputera dihapuskan dengan alasan kononnya dasar tersebut telah disalahgunakan oleh segelintir golongan tertentu.

Izhar bagaimanapun tidak menafikan berlaku ketirisan dan kelemahan dari segi ‘check and balance’ oleh agensi-agensi pelaksana serta amalan budaya korup.

Tetapi beliau mengingatkan bahawa Tun Daim dan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad sendiri paling banyak terlibat dalam program DEB.

“Sebagai rekod, rakyat Malaysia sedia maklum tempoh pelaksanaan majoriti program-program DEB adalah pada ketika pentadbiran negara di bawah pimpinan Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri.

“Malah Tun Daim sendiri pula bertanggungjawab terhadap pengurusan kewangan negara.

“Jangan sedap beretorik sebagai seorang yang kaya dan berkuasa. Mohon sedar di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung,” kata Izhar yang juga Pengerusi Biro Ekonomi dan Pemerkasaan Agenda Bumiputera PUTRA.

Izhar berkata, keistimewaan hak Melayu dan kaum Bumiputera sewajarnya terus dipelihara dengan memperbaiki dasar sedia ada demi memperkasa hak keistimewaan Melayu dan kaum Bumiputera seperti yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Jelasnya, Dakwaan DEB adalah polisi ‘race-based’ (keperluan kaum) semata-mata adalah dakwaan semberono kerana pada hakikatnya kaum yang masih ketinggalan dan masih dalam situasi memerlukan adalah Melayu dan kaum Bumiputera.

“Polisi ‘needs-based’ semestinya perlu menjurus terhadap Melayu dan kaum Bumiputera kerana sejak pelaksanaan DEB.

“Data-data ekonomi memperlihatkan Melayu serta kaum Bumiputera di pelbagai peringkat masih ketinggalan berbanding kaum Cina dan India.

“Dakwaan Daim ramai rakyat Malaysia telah tidak berpeluang untuk turut serta menikmati pertumbuhan dan pembangunan negara disebabkan DEB hanya memanfaatkan segelintir golongan sahaja adalah tidak berasas sama sekali,” katanya. – 7 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.