TINDAKAN segelintir pemimpin DAP dan kumpulan pendesak Cina termasuk Dong Zong, membantah ajaran seni khat dan jawi ibarat menghina kedudukan Islam, kata Dewab Muslimat PAS Johor.

Timbalannya, Normala Sudirman berkata, tindakan mereka itu secara jelas ibarat tidak menghormati Islam sebagai Agama Persekutuan dan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tegasnya, tindakan pimpinan DAP amat tidak bertamadun seolah-olah buta sejarah sedangkan tindakan KPM adalah mahu memeliharan seni warisan ini supaya generasi pelapis pada masa akan datang tidak buta tulisan Jawi.

“DAP seolah-olah parti rasis yang menentang segala usaha memartabatkan jawi dan membantah sebarang usaha ke arah membugarkan semula seni kaligrafi ini.

“Tindakan 138 pimpinan DAP ,ADUN PH dan beberapa NGO Cina adalah amat dikesali dan biadap kerana usaha dan langkah yang ingin diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan ini telah ditentang secara terbuka oleh pimpinan DAP,” katanya.

Normala berkata, tulisan jawi yang ingin dimulakan semula dalam silibus pendidikan oleh kerajaan secara sistematik perlu dipertahankan dan disokong oleh rakyat Malaysia terutama yang beragama Islam.

Jelasnya tulisan khat yang memiliki nilai estetika tersendiri serta menjadi sebahagian dari seni keindahan tulisan Arab dan jawi wajar dipelihara.

Ini kerana katanya, langkah itu sebagai membayar harga sebuah kesilapan dan menebus kembali apa yang pernah dilakukan oleh pemimpin terdahulu dalam persada pendidikan negara.

”Kita jangan lupa bahawa suatu ketika dahulu mata pelajaran atau tulisan jawi pernah dimansuhkan ketika zaman Tan Seri Khir Johari ketika menjadi Menteri Pendidikan.

“Ia akhirnya menimbulkan implikasi negatif sehingga hari ini , menyebabkan ramai generasi muda dan anak-anak Melayu Islam tidak mahir menulis dan membaca dalam jawi serta akhirnya agak lemah membaca Al-Quran”.

“Dahulu,kita juga mempunyai akhbar tulisan jawi tetapi oleh kerana ramai yang tidak mahir membaca terutama generasi muda hari ini yang kurang berminat membeli akhbar ini ,maka penerbitan akhbar ini terpaksa ditutup,” katanya. – 7 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.