Kes pemimpin Bersatu jual lembu korban beli komputer jadi bahan lawak

1

MEMALUKAN.

Itu yang berlaku di Perak apabila tiga pemimpin Bersatu Bahagian Bagan Datuk didakwa menjual lembu korban yang sepatutnya diagihkan kepada penduduk setempat sempena sambutan Hari Raya Aidiladha tahun lalu.

Perkara itu didedahkan ahli jawatankuasa (AJK) Bersatu sendiri, Bahaman Tokiran yang mendakwa ketiga-tiga pemimpin itu menjual dua daripada tiga ekor lembu sumbangan Menteri Besar Perak Faizal Azumu bagi membeli komputer riba dan mesin pencetak.

“Dua ekor lembu itu dijual oleh timbalan dan naib ketua bahagian Bersatu Bagan Datuk dan mereka mengambil duit itu.

“Jumlah dua ekor itu dianggarkan dijual RM5,000 seekor. Hanya 1 ekor lembu saja diagihkan ketua Bersatu bahagian Bagan Datuk.

“Saya juga salah seorang penduduk di Bagan Datuk terkilan dengan tindakan tiga pemimpin itu yang melanggar hukum syariah Islam,” katanya menurut Malaysiakini.

Sehubungan itu, Bahaman membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat kes itu.

Beliau turut menamakan ketua bahagiannya Abdul Malik Karim, timbalannya Mohd Robion Bandi @ Ali Bandi dan naib ketua Zul Azni Kamirin dalam laporan itu.

Dalam laporan SPRM semalam, Bahaman turut menyerahkan audio perbualan telefon dan mesej WhatsApp didakwa antara timbalan serta naib ketua bahagian itu.

Ditanya mengapa baru membuat laporan itu meskipun perkara itu sudah berlaku setahun yang lalu, Bahaman berkata perkara itu diambil memandangkan bantuan sama diberikan lagi tahun ini.

“Baru-baru ini saya dapat maklumat yang menteri besar Perak ada memberi peruntukan lima ekor lembu pada ketua bahagian yang sama.

“Jadi, dari itu saya mengambil keputusan untuk membuat laporan agar tidak akan berulang dan mereka-mereka yang terlibat menerima hukuman atas salah laku mereka,” katanya.

Difahamkan Bersatu pusat akan memanggil ketiga-tiga pemimpin tersebut bagi mendapatkan penjelasan berkaitan perkara tersebut.

Susulan pendedahan itu, pengguna media sosial dan aplikasi WhatsApp menjadikan kes itu sebagai bahan lawak menjelang sambutan Aidil Adha hujung minggu ini.

Antara jenaka yang dibuat termasuk rakyat diminta mencari tiga pemimpin tersebut jika berlaku kecurian lembu kerana mereka dipercayai menjual haiwan itu untuk membeli komputer. – 7 Ogos 2019.

1 COMMENT

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.