SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Isham Ishak untuk membantu siasatan berhubung bayaran tuntutan sebuah syarikat yang mendapat kontrak kerajaan.

Menurut sumber, Isham dipanggil ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pukul 2 petang semalam dan pejabat Isham di kementerian dikunci SPRM, bagi tujuan siasatan.

Siasatan ini dipercayai ada kaitan dengan dakwaan salah guna kuasa di Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) yang melibatkan KSU dan syarikat yang dilantik untuk mengendali Tourism Malaysia.

Pada Januari lalu, bekas pengerusi Tourism Malaysia Siew Ka Wei ditahan reman empat hari sebelum dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Beliau ditahan bersama ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat, Elizabeth Ken Tze Ying.

Mereka ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berhubung kesalahan salah guna kedudukan untuk mendapatkan suapan.

Siasatan itu berkaitan dengan suatu kontrak bernilai RM99.7 juta antara Tourism Malaysia dengan Geeko Tech Sdn Bhd yang bertujuan untuk mempromosikan pelancongan Malaysia di negara China menerusi internet.

Maklumat mengenai kontrak itu didedahkan kepada umum oleh bekas pengerusi Tourism Malaysia Wee Choo Keong di blognya, dua bulan selepas kontrak itu dimeterai. – NTHQiBORD, 7 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.