SEMALAM, Teo Nie Ching mengumumkan bahawa Kementerian Pendidikan mencapai persetujuan dengan kumpulan pendesak Cina dan Tamil berhubung pengenalan tulisan khat dalam sukatan pelajaran Tahun 4 Bahasa Melayu tahun depan.

Timbalan Menteri DAP itu berkata kumpulan pendesak itu termasuk Dong Zong bersetuju tujuan di sebalik langkah kementerian adalah untuk memperkenalkan penulisan khat kepada pelajar, dan bukannya belajar jawi.

Tapi lain pula ceritanya hari ini apabila Dong Zong menafikan kenyataan Nie Ching kononnya mereka menerima pengajaran kaligrafi khat untuk murid Tahun 4.

Dong Zong menerusi kenyataan dalam Facebook berkata, mereka masih berpegang kepada pendirian membantah pembelajaran jawi di sekolah vernakular.

“Kami menentang pengajaran tulisan jawi di sekolah rendah jenis kebangsaan (vernakular).

“Pada mesyuarat bertukar pandangan semalam, wakil kami mengulangi kepada timbalan menteri yang kementerian itu harus terlebih dahulu terlibat dan mengadakan perbincangan dengan kumpulan berkaitan.

“Mereka mesti dijemput untuk mengambil bahagian dalam perbincangan mengenai Dokumen Kurikulum dan Penilaian Standard (DSKP) untuk Bahasa Melayu sebelum membuat keputusan untuk sekolah vernakular,” kata Dong Zong.

Selain Dong Zong, kumpulan pendesak Tamil, Tamil Foundation Malaysia juga nafi capai persetujuan dengan Kementerian Pendidikan.

Presidennya, Thiraviam C. Maruthai berpegang teguh kepada pendirian menolak pengajaran khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4.

“Dalam buku Bahasa Melayu Tahun 5 bagi sekolah vernakular terdapat satu tajuk mengenai Jawi, Tamil dan Mandarin.

“Ia untuk memperkenalkan jenis-jenis huruf kepada murid. Kalau untuk pendedahan, kita tak ada masalah.

“Tetapi kita tak setuju dengan pengajaran Jawi dan khat,” beliau memberitahu The Malaysian Insight. – 7 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.