MAJLIS Belia Negeri Johor (MBNJ) menasihatkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq agar berhenti bermain sandiwara.

Naib Presiden MBNJ, Mohd. Rashidi Ismail mengulas tindakan Syed Saddiq memuatnaik gambarnya bersama Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri sebagai cubaan berlapik (cover line).

“Kelakuan Syed Saddiq seolah-olah mahu menonjolkan dirinya sebagai anak Johor yang prihatin dengan menulis kapsyen ‘hubungan Johor dan Persekutuan boleh diumpamakan bagai cubit peha kiri terasa peha kanan’.

“Ketika ini rakyat mula mempertikai watak sebenar Syed Saddiq,” katanya.

Pada 5 Ogos lalu, Syed Saddiq memuatnaik gambarnya bersama Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Menteri Besar Johor, Datuk Sahruddin Jamal di dalam Facebook.

“Hubungan Johor & federal boleh diperumpamakan bagai cubit peha kiri terasa peha kanan.

“Bersama YAB Perdana Menteri & YAB Menteri Besar Johor. Sebagai anak muda, ada banyak yang boleh kami pelajari,” tulis Syed Saddiq.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi turut mengingatkan Saddiq bahawa MBNJ mula berasa kecewa dengan kepimpinan menteri itu yang dilihat bersikap lepas tangan terhadap pembangunan ekonomi negeri Johor.

“Syed Saddiq berubah apabila dilantik sebagai menteri persekutuan.

“Anak muda di akar umbi berasa kecewa kerana Syed Saddiq tidak memainkan peranan apabila ekonomi negeri Johor semakin menguncup sejak PRU ke-14 yang lalu.

“Beliau diharapkan menjadi jambatan kepada hubungan Johor dan persekutuan tetapi telah mensabotaj ekonomi rakyat Johor dengan kenyataan-kenyataan politik,” katanya.

Selain itu, Mohd Rashidi berkata, Johor sering menjadi negeri yang terakhir dalam menerima apa-apa manfaat atau insentif dari kerajaan persekutuan.

“MNBJ berpendapat sekiranya beliau benar-benar ikhlas, beliau mestilah membantu Johor dengan mendapatkan insentif dan manfaat yang setimpal buat rakyat negeri ini.

“Fakta menunjukkan Johor adalah antara negeri tertinggi yang menyumbang kepada persekutuan iaitu sebanyak lebih RM 40 billion setahun, tetapi hanya menerima kembali sekitar RM2 billion setahun untuk manfaat dan kegunaan rakyat negeri ini.

“Bayangkan betapa rakyat negeri ini dianaktirikan oleh Persekutuan tetapi Saddiq dengan selamba cuba bermain wayang dan berdiam diri demi kepentingan politik.

“Persoalannya, adakah dengan memuatnaik gambar bersama MB Johor dan PM sudah cukup menggula-gulakan rakyat negeri ini kononnya beliau bekerja untuk Johor?

“MBNJ amat hampa mempunyai taraf menteri seperti ini,” katanya. – 7 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.