PEMETERAIAN kerjasama antara PAS dan UMNO akan menyaksikan tiada pertembungan antara dua parti di kawasan-kawasan dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU-15) akan datang.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, dua parti ini tidak akan bertanding satu sama lain sebaliknya akan duduk bersama berbincang calon yang sesuai untuk bertanding.

“Itu intipati paling besar yang dipersetujui kedua-dua kepemimpinan parti dan akan dimeterai secara rasmi menerusi Piagam Kerjasama Muafakat PAS-UMNO, bulan depan.

“Pemeteraian piagam itu juga tidak terhad kepada kerjasama UMNO dan PAS, bahkan melibatkan Barisan Nasional (BN) dan Gagasan Sejahtera (GAGASAN) bagi menghadapi PRU-15.

“Kita muktamadkan, hanya akan ada pertembungan dua penjuru bagi setiap kawasan yang mana semua pihak akan duduk berbincang mengenai calon bertanding dan memastikan tiada pertembungan berlaku,” katanya.

Selain itu, Takiyuddin berkata, kerusi yang dimenangi oleh kedua parti tersebut dalam PRU14 terdahulu akan dikekalkan kepada parti terbabit kecuali ada perubahan dan rundingan lain.

“Kita akan berbincang untuk menentukan calon yang akan bertanding bagi kerusi tewas.

“Pada dasarnya, UMNO ada 38 kerusi manakala PAS terdapat 18 kerusi yang akan terus diwakili oleh kedua-dua parti,” katanya.

Di samping itum beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu menyatakan hasrat lain yang disenaraikan termasuklah memantapkan lagi hubungan dua hala antara parti di peringkat negeri dan kawasan.

“Perkara lebih lanjut akan diumumkan nanti ketika piagam ini ditandatangani pada 14 September di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

“Kita jangkakan kehadiran ahli dan penyokong seramai 6,000 orang pada majlis itu,” katanya. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.