SETIAUSAHA Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan menegaskan bahawa hanya Yang di-Pertuan Agong dan Dewan Rakyat sahaja yang boleh menentukan kedudukan Perdana Menteri,Tun Dr Mahathir Mohamad.

Takiyuddin berkata, terdapat desakan pihak tertentu supaya PM yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang.

Jelasnya, ia adalah tidak relevan dan tidak selaras dengan undang-undang.

“Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat.

“Ini merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak.

“Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga keadaan iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela, Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya Anwar mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah ini secara tidak langsung membawa maksud Tun M hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri..

“Sekiranya ini adalah benar, Anwar sepatutnya segera mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut.

“Beliau juga boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, maka Perdana Menteri mempunyai dua pilihan, iaitu meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen.

“Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya,” katanya.

Namun, Takiyuddin tetap tegas dengan menyatakan bahawa 18 Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya terhadap Tun M.

“Akhir-akhir ini, ahli-ahli PKR dan badan bukan kerajaan (NGO) dilihat lantang menggesa PM untuk berundur.

“Langkah itu untuk memberi laluan kepada Anwar seperti konsensus yang telah dicapai Pakatan Harapan (PH) sebelum pilihan raya umum Mei 2018 dahuli,” katanya. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.