TIMBALAN Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari, mencadangkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengadap Sultan Selangor dan merombak barisan exco.

“Saya menyeru rakan-rakan Adun di Selangor untuk mengambil langkah pada masa yang terbaik hari ini untuk menyingkirkan DAP dari pentadbiran negeri Selangor.”

“Menteri Besar Selangor wajar memulakan langkah proaktif mengadap DYMM Sultan Selangor bagi mewajarkan rombakan exco negeri Selangor.

“Keluarkan semua ahli exco daripada DAP seterusnya singkirkan Speaker DUN Selangor yang juga daripada parti tersebut,” kata Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Saranan Fadhli itu berdasarkan situasi semasa termasuklah sikap Speaker yang memendekkan sidang Dun sehingga usul daripada MB berkaitan Islam gagal dibentangkan.

Penguasaan DAP di Selangor begitu ketara walaupun mempunyai bilangan kerusi kurang daripada PKR.

Fadhli percaya Adun UMNO dan PAS tidak mempunyai masalah untuk memberikan sokongan kepada Amirudin.

“Sekiranya sokongan daripada UMNO dan PAS diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil menolak untuk bekerjasama menjayakan agenda ini.”

“Jika permulaan terlerainya Pakatan Rakyat adalah Langkah Kajang di Selangor, tiada yang pelik jika lerainya Pakatan Harapan juga bermula dengan Langkah Sekinchan di Selangor,” kata Fadhli.

Selain, tindakan melakukan rombakan exco, pilihan lain yang ada ialah membubarkan Dun.

Namun, pilihan itu bakal menyebabkan bukan sahaja Amirudin kehilangan kerusi MB, malah tidak mustahil kerajaan DAP-PH di Selangor akan tumbang. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.