NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata Kerajaan Negeri Johor ketika ini melindungi melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat dalam isu pencemaran udara di Pasir Gudang.

“Selepas dua kali insiden yang sama berulang, Kerajaan Negeri dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki,” katanya.

Sementara itu katanya, ada pihak yang menuding jari dan menyalahkannya dalam isu pencemaran yang berlaku di Pasir Gudang.

“Alasannya ialah saya merupakan ADUN Permas sebelum ini, sayalah yang bertanggungjawab meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang.”

“Rentetan daripada tuduhan sebegini, ada juga yang menggesa agar pihak berkuasa terutamanya SPRM menyiasat dan membongkar semua ini,” kata Khaled.

Namun, Khaled menjelaskan situasai sebenar untuk kefahaman orang ramai;

Pertama, menurut Khaled, kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas Adun yang terlibat.

Sebaliknya, kelulusan dan operasi kilang adalah di bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan. Dalam kes ini, Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Katanya, manakala, perkara-perkara yang melibatkan lesen, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula, kebanyakannya adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan.

“Jadi, saya bersedia, malah sangat menggalakkan jika orang ramai atau mana-mana pihak menggesa Kerajaan Negeri untuk menyemak dan mendedahkan nama-nama kilang yang terlibat dalam pencemaran ini.”

“Daripada maklumat tersebut, kita semua akan dapat mengetahui siapakah pihak yang meluluskan pembukaan dan operasi tersebut,” katanya.

Kedua, Khaled bersetuju untuk pihak berwajib seperti SPRM atau mana-mana agensi yang relevan membuka kertas siasatan. Siasatlah sepenuhnya siapa yang terlibat dan ambillah tindakan.

Ketiga, Khaled mahu semua pihak harus sedar, isu yang turut kritikal dalam insiden ini adalah pengurusan dan pemantauan oleh pihak-pihak berkuasa.

Menurut beliau, prosedur dan kepakaran agensi-agensi ini harus diperkemaskan. Malah, yang semua kesalkan sekali adalah kegagalan dan kelemahan Kerajaan Negeri dalam menguruskan insiden tersebut.

“Saya bersetuju perkara ini disiasat dengan segera. Saya sendiri bersedia untuk disiasat dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya.”

“Saya sendiri secara peribadi ingin tahu kilang manakah yang telah membuat onar di Pasir Gudang, siapakah pemiliknya dan siapakah yang telah meluluskan pembukaan serta operasinya,” kata Khaled lagi.

Sebelum ini tular di media maya tentang salah seorang pemilik kilang di kawasan pencemaran tersebut ialah suami kepada Yeo Bee Yin, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Jadi tidak hairanlah jika Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri menutup mulut sehingga kini. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.