AHLI Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin menyatakan bahawa Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh patut meletak jawatan, lapor UMNO online.

Fuziah yang juga di Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) digesa berbuat demikian selepas berubah pendirian dalam isu Lynas.

“Pakatan Harapan (PH) akhirnya terpaksa telan ludah sendiri atas penipuan mereka dalam isu Lynas Advanced Material Plant.”

Hal ini kerana terbukti Lynas bukan satu projek bahaya sebaliknya dipolitikkan semata-mata untuk mereka menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.”

“Kalau saya jadi Fuziah Salleh, saya akan letak jawatan,” tegas Sharkar.

Fuziah merupakan salah seorang yang begitu lantang menentang pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng, Kuantan.

“Ternyata rakyat khususnya di Kuantan telah ditipu hidup-hidup. Sekarang siapa yang hendak jawab? BN berada di pihak benar,” sindir beliau lagi.

Namun jelas Sharkar, secara tidak langsung beliau mahu berterima kasih kepada kerajaan pusat terutamanya Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memberikan jawapan sebenar yang selama ini menjadi tanda tanya dan yang dipolemikkan kepada rakyat.

“Apabila kerajaan PH menyambung lesen operasi Lynas, ia membuktikan bahawa Lynas memang tidak bahaya dan isu ini diputar-belitkan hanya untk menang politik.

“Tetapi sekarang mereka memerintah, mereka tidak boleh menukar fakta. Akhirnya apabila mereka cuba putar-belit keadaan, mereka terperangkap,” ujar Sharkar.

Tambah Sharkar, BN sebenarnya sedikit pun tidak terkejut apabila kerajaan PH menyambung lesen operasi Lynas kerana BN mengetahui hakikat sebenar berkaitan operasi syarikat tersebut.

“Saya dulu terlibat secara langsung sebab saya Pengerusi Sains, Teknologi dan Inovasi. Jadi saya sentiasa memantau dari semasa ke semasa,” kata Sharkar.

Namun, yang paling mengharukan, aktivis anti Lynas tertipu dan terpaksa berputih mata kerana perjuangan mereka selama ini ternyata sia-sia. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.