PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menzahirkan kebimbangan apabila melihat amalan rasuah dalam kalangan kakitangan awam semakin menular.

Menurut Presiden MCW, Jais Karim, peningkatan ini berpunca daripada pelbagai kelemahan dan penyelewengan anggota pentadbiran awam di Malaysia.

Oleh yang demikian, beliau berkata, pihaknya ingin mengajukan beberapa cadangan kepada kerajaan dengan memperkenalkan akta khas ‘public official misconduct’.

“Ia merupakan langkah pencegahan yang kebih baik dalam memastikan anggota kakitangan mempunyai tadbir urus yang lebih baik.

“Akta ini mencadangkan pegawai yang melakukan kesalahan, meluluskan sesuatu secara salah atau membuat keputusan yang salah sehingga menyebabkan kerugian kepada kerajaan akan dibicarakan di mahkamah sebagai satu kesalahan jenayah.

“Tindakan ini akan menjadi pengajaran yang terbaik kepada semua pegawai kerajaan yang lain dan merupakan satu langkah pencegahan yang terbaik bagi memastikan kesalahan seperti ini tidak lagi diulangi.

” Para pegawai perkhidmatan awam akan lebih bertanggung jawab dalam melaksanakan tugasan mereka dengan lebih berintegriti,” katanya.

Selain itu, beliau yakin, dengan wujudnya akta ini akan mampu menapis dan mengeluarkan pegawai yang tidak produktif, terlibat dengan rasuah atau ‘tunggul mati’ dari perkhidmatan awam.

“Kesan utamanya ialah perkhidmatan awam di Malaysia akan bertambah efisyen dan bermutu.

“Dapat memastikan standard yang terbaik dalam tandbir urus yang cemerlang, berintegriti tinggi dan ‘zero’ toleran terhadap rasuah.

“Mutu kepimpinan penjawat awam mesti terus ditingkatkan dengan kepimpinan yang baik supaya dapat memberi wawasan dan pemikiran strategik kepada sesebuah organisasi,” katanya.

Tambah Jais, pihaknya sentiasa mendokong inspirasi kerajaan yang inginkan pemerkasaaan terhadap pentadbiran awam di Malaysia.

“MCW ingin menyatakan sokongan jitu terhadap komitmen dan usaha Y.A.B. Perdana Menteri untuk terus memperkasa anggota pentadbiran awam di Malaysia hari ini.

“Pelbagai penyelewengan dan ketirisan yang sedang berlaku dalam pelbagai sektor dalam negara boleh mula diperangi secara terbuka dengan komitmen kerajaan mengistiharkan ‘RASUAH’ adalah Musuh Nombor 1 Rakyat dan Negara Malaysia,” katanya. – 8 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.