MURSYIDUL Am Pas, Datuk Hashim Jasin menyokong Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meneruskan tugas mentadbir negara sehingga habis penggal.

Beliau berkata, Tun Mahathir wajar terus diberi kepercayaan memimpin negara sehingga tamat penggal kerana tiada pengganti yang sesuai bagi menggalas tugas tersebut berdasarkan kualiti pemimpin-pemimpin lain yang berada di dalam Pakatan Harapan (PH).

“Daripada segi pengalamannya, biar Tun Mahathir selesai dahulu (menyempurnakan tugas sebagai perdana menteri).

“Rakyat akan menilai semula hala tuju kerajaan dalam pilihan raya selepas ini.

“Rakyat bakal menilai kembali untuk menentukan calon terbaik untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” katanya.

Dalam pada itu, Hashim mengingatkan tentang ancaman yang akan menggugat kerjasama dua parti Melayu-Islam antara UMNO dan PAS.

Katanya, musuh Islam akan berfikir beberapa kali selepas melihat semua umat Islam bersatu di negara ini namun dalam waktu yang sama perlu terus berhati-hati dengan sebarang gerakan yang cuba menghapuskan usaha penyatuan ini.

Menurutnya, perpaduan ummah yang sedang digerakkan oleh PAS dan UMNO pada waktu ini dilihat menjadi salah satu keperluan selepas agama Islam dilihat semakin dihimpit dengan pelbagai isu.

“Mereka ini mahu mempertikaikan apa jua perkara berkaitan dengan agama Islam.

“(Sebenarnya) situasi berkenaan dilihat semakin serius pada masa ini dan kita harap orang Islam sentiasa berhati-hati menentang sebarang gerakan ini.

“Sekarang ini sudah menjadi keperluan untuk umat Islam bersatu malah kerjasama perpaduan melibatkan Pas dan UMNO (yang sedang berjalan) perlu diusahakan bersungguh-sungguh,” katanya.
– 9 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.