SATU pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam meminta satu sesi pratonton telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ ditayangkan kepada pihak berkepentingan.

Menurut Jawatankuasa Bertindak NGO Pendidikan Islam dalam kenyataan dikeluarkan, mereka menuntut Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menontonnya sebelum telemovie tersebut disiarkan kepada umum.

Kata kenyataan itu, jawatankuasa tersebut memandang serius keresahan segelintir masyarakat yang khuatir telemovie itu memberi imej buruk kepada institusi-institusi Islam di Malaysia.

“Keresahan dan kebimbangan masyarakat umum ada asasnya memandangkan kebelakangan ini terdapat kecenderungan dalam kalangan tertentu memburukkan institusi Islam dan agama Islam amnya dan kemudian mengambil ‘jalan mudah’ meminta maaf.

“Sedangkan perbuatan mereka telah menyebarkan kebencian dan menyemarakkan kemarahan kaum dan agama tertentu. Jadi, pihak penerbit telemovie dan pihak berkuasa penyiaran iaitu RTM didesak tampil menjawab keresahan tersebut,” gesa jawatankuasa itu.

Pada 3 Ogos lalu, kecoh dalam media sosial apabila telemovie ‘Demi Tuhan Aku Bersaksi’ dikatakan seolah-olah menyindir pusat tahfiz.

Drama yang bakal disiarkan di saluran TV1 RTM ini mengisahkan isu persemburitan yang berlaku di institusi pendidikan al-Quran atau lebih dikenali sebagai sekolah tahfiz.

Tambah kenyataan itu, jawatankuasa tersebut turut menyeru mana-mana pihak penerbitan terlebih dahulu merujuk kepada pihak berkuasa agama dalam menerbitkan karya-karya seni melibatkan agama Islam.

“Ia untuk mengelakkan kebimbangan di hati masyarakat selain, untuk memelihara kesucian Islam walaupun diakui telemovie itu mempunyai nilai-nilai, niat dan misi yang baik.

“Niat dan visi yang baik sahaja tidak mencukupi sekiranya jalan cerita, pemaparan watak dan elemen yang terkandung dalam filem melanggar batas-batas yang dibenarkan oleh hukum syarak serta bersifat menghina agama dan nilai masyarakat,” ujar kenyataan itu. – 8 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.