KEMELUT dalaman Pakatan Harapan bukan sahaja berlaku di peringkat Nasional, malah kini mula merebak ke negeri pula.

Yang terkini, Selangor dikhabarkan bakal bergolak selepas ada perancangan mahu menukar Menteri Besar, Amirudin Shari yang kuat yang menyokong Datuk Seri Azmin Ali khususnya dalam isu video seks.

Kumpulan yang merancang menggulingkan Amirudin mendakwa sudah mempunyai majoriti mencukupi untuk menjayakan pelan undi tidak percaya.

Ketika ini, PKR mempunyai 21 kerusi, DAP (16), Amanah (8), Bersatu (5), Barisan Nasional (5) serta Pas (1) daripada keseluruhan 56 kerusi DUN Selangor.

Menurut salah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) terlibat, Amirudin ketika ini hanya memiliki sokongan sejumlah 13 Adun PKR dan enam daripada pembangkang dengan Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih berbelah bahagi.

Adun itu mendakwa mampu mendapat sokongan sehingga 37 Adun.

Amirudin juga dilihat sedang berkrisis dengan DAP dan beliau cuba untuk menyingkirkan Speaker (Ng Suee Lim).

DAP melalui Suee Lim menunjukan kuasanya dengan ‘mengenakan’ Amirudin dalam isu usul berkaitan pemerkasaan agama Islam yang sepatutnya dibawa kerajaan negeri ke sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) dengan memendekkan sidang kepada cuma dua hari.

Tindakan DAP tersebut dipercayai ada kaitannya dengan perancangan PKR sendiri untuk menyingkirkan Amirudin kerana secara terbuka mengkritik Anwar dan memilih untuk berpihak kepada Azmin.

Jika perancangan menggulingkan Amirudin berjaya, tidak mustahil kesannya turut sampai ke peringkat nasional dan PKR bakal berpecah dua – kem Azmin dan kem Anwar. – 8 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.