PROFESOR Datuk Dr Teo Kok Seong menyifatkan keputusan kerajaan PH yang tunduk kepada desakan ahli politik DAP dan NGO tertentu dalam isu seni khat adalah langkah mendukacitakan, lapor MalaysiaGazette.

“Apa-apa sahaja yang diputuskan oleh pakar, ahli politik yang akan buat keputusan. Sedangkan apa yang ahli politik tahu selain berpolitiking.

“Mereka bukan ada kepakaran, bukan ada justifikasi tentang kebaikan ilmu khat yang cukup memiliki nilai estetika di dunia,” katanya

Teo menyifatkan penentang pengenalan khat, adalah golongan yang takut pada bayang-bayang sendiri, justeru setiap alasan penolakan yang dibuat semuanya tidak masuk akal.

“Mereka cuma feel dengan imiginasi yang bukan realiti,” ujarnya sambil memberi contoh tindakan Ahli Parlimen DAP Kepong, Lim Lip Eng yang menyamakan cadangan pembelajaran seni khat jawi seperti menyapu najis lembu ke muka sendiri.

Katanya, ahli Parlimen kerajaan itu masih mempunyai mentaliti pendatang meskipun mungkin merupakan dari generasi ketiga atau keempat yang lahir di Malaysia.

Lip Eng dakwanya langsung tidak ada sikap nasionalisme, bahasa pertuturan tidak berlapik, sekali gus menggambarkan gagal menjadi manusia Malaysia – iaitu ada perasaan terikat dengan Malaysia.

“Langsung tidak menghormati orang Melayu yang merupakan penduduk dominan di Tanah Melayu,” ujarnya.

Beliau bimbang, keputusan terkini itu akan menyebabkan hanya satu pihak sahaja yang memenuhi proses pembinaan negara bangsa manakala ada segelintir tidak.

Katanya, akibatnya nanti kita akan menyaksikan pembinaan Manusia Malaysia yang tidak seragam, tidak sempurna. Pembinaan jati diri dan aspirasi nasional tidak sepenuhnya sebaliknya berbeza-beza akibat daripada keputusan Kabinet hari ini.

“Sepatutnya kerajaan tidak boleh buat keputusan begini. Kalau serius mahu pembentukan negara bangsa yang sempurna semua murid perlu diwajibkan melalui proses itu. Tidak ada pengecualian bagi sekolah vernakular.

“Jadi kalau sekolah SKJC dan SJKT tidak melalui proses sama dengan sekolah kebangsaan, pembentukan negara bangsa akan gagal. Itu akan berlaku,” tegasnya.

Beliau mengingatkan bahawa Bahasa Melayu adalah identiti Malaysia.

Jadi sudah tentu pihak yang menggubal sukatan pelajaran yang terdiri daripada pelbagai bangsa itu menjurus ke arah itu. – 9 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.