SETIAUSAHA Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan DAP berpegang teguh kepada doktrin “exitus acta probat” yang bermaksud “matlamat menghalalkan cara”.

Malah, anutan sama parti lain yang menganggotai Pakatan Harapan hari ini.

Menurut Roslan, DAP sedar pengaruh mereka kental dan kukuh dalam kalangan masyarakat bukan Melayu khasnya kaum Cina.

“Tetapi masyarakat Melayu Islam yang merupakan penduduk majoriti sukar menerima perjuangan mereka, malah lebih melihat mereka anti Melayu dan anti Islam.”

“Oleh itu DAP akan bersekongkol dan menyokong apa sahaja usaha memecahkan kekuatan politik Melayu,” katanya.

Katanya lagi, Umno perlu dipecahkan kerana itu apabila retak Umno melahirkan Semangat 46 dulu dan kini Bersatu pula, DAP sangat senang dan mengalu-alukannya. Apabila Tun sanggup membentuk Bersatu dan menjadi anggota PH, DAP malah gembira mencalonkan Tun sebagai PM kiranya PH menang kerana saki-baki pengaruh Tun boleh membantu DAP menguasai undi Melayu dan ternyata strategi mereka berjaya.

“Begitu juga dengan PAS. Bukan lagi rahsia apabila berlaku krisis kepimpinan dalam PAS satu ketika dahulu, DAP terang-terangan menyokong satu kelompok yang mahu mencabar kepimpinan Datuk Seri Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, dengan harapan golongan penentang ini akan menang dan menguasai PAS sepenuhnya.”

“PAS yang pro DAP sudah pastilah mudah untuk ditunggangi dan diperkudakan. Malangnya kumpulan yang dijaja DAP itu tewas teruk dalam pemilhan parti sehingga DAP kemudiannya mendesak mereka meninggalkan PAS dan menubuh parti baru dengan dokongan DAP. Lahirlah Pan dan sekali lagi orang-orang Melayu berjaya dipecah-pecahkan,” katanya.

Menurut Roslan, hari ini DAP bukan hanya berkuasa di Pulau Pinang tetapi melalui langkah licik mereka kini mereka menjadi rakan kongsi yang dominan dalam Kerajaan Persekutuan selain negeri-negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.

Katanya, DAP kini bijak dan terus memperalat dan mempergunakan orang-orang Melayu demi untuk menegakkan sesuatu isu yang mereka dukung dan cita-citakan.

“Terbaharu dalam kes membabitkan Dr Zakir Naik. Tokoh-tokoh DAP termasuklah Ramasamy, Kulasegaran, Ramkarpal adalah antara yang vokal menentang kehadiran Dr Zakir di Malaysia.”

“Melihat seorang peguam Melayu Islam Anas Zubedy mengutus surat terbuka kepada Dr Zakir agar pulang ke India secara sukarela, tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang terus melompat dan memperalatkan surat ini dengan memberikan sokongan penuh beliau,” katanya.

Selain itu, menurut Roslan begitu juga dalam isu seni khat. Ternyata sebahagian pimpinan dan ahli DAP menentangnya terang-terangan. Penentangan itu dilihat mencerminkan betapa rasisnya parti DAP itu.

Apabila ada seorang wartawan Melayu memuatnaik artikel menentang langkah kementerian itu dan menyamakannya seumpama melumur wajah dengan tahi lembu, seorang pemimpin DAP yang juga ahli Parlimen meraikan kenyataan itu dengan memuat naik artikel itu dalam laman media sosialnya.

“Begitulah agenda DAP bagi melemahkan Melayu Islam. Untuk itu orang Melayu perlu bersatu agar jangan sampai kita merempat di bumi sendiri,” katanya. – Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.