SEORANG penduduk membaca laporan berhubung penderitaan keluarga peserta Felcra Rompin yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia di sebuah kedai kopi di Jempol, Januari lalu. - UTUSAN ONLINE

KURANG dua hari lagi, umat Islam akan menyambut ketibaan Aidiladha, tetapi peserta FELCRA masih belum menerima khabar tentang baki bantuan yang dijanjikan sejak Mei lalu.

Pada 29 Mei lalu, kerajaan Pakatan Harapan membuat bayaran Bantuan Sara Hidup (BSH) sebanyak RM44.40 juta bagi tempoh Ogos 2018 sehingga Mei 2019 untuk 17,161 orang peserta FELCRA dalam kalangan B40.

Bayaran itu dibuat kurang seminggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 4 Jun lepas.

Setiap peserta terlibat menerima bayaran RM560 dan difahamkan tidak semua jumlah tersebut dibayar kepada mereka.

Salah seorang peserta, Misman Bohari, 60, dari FELCRA Rompin, meluahkan perasaan bahawa beliau masih belum menerima bayaran penuh BSH yang dijanjikan sedangkan sudah hampir tiga bulan kerajaan mengumumkan bantuan itu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada pihak atasan FELCRA tidak mempunyai pendekatan untuk menguruskan cara pembayaran bantuan itu.

“Pihak atasan merupakan golongan yang terpelajar dan mahir dalam tugas masing-masing.

“Mula-mula dapat RM1,000, kemudian jadi RM800 (di bawah kerajaan Barisan Nasional) dan kini tinggal RM560 saja (di bawah Pakatan Harapan).

“Namun apa yang mendukacitakan sehingga kini pembayaran BSH masih samar.

“Kita akan menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dan peserta pastinya memerlukan wang untuk membuat persiapan menyambutnya.

“Tak pasti sama ada hari ini atau esok (BSH) akan dibayar,” katanya kepada NTHQiBord.

Misman juga berkata, wang bantuan itu bukan saja digunakan untuk perayaan tetapi ada peserta memerlukan bagi tujuan perubatan.

Jelasnya, ada kalangan peserta yang sudah mencapai usia lewat 50-an dan 60% daripadanya mengalami sakit kronik.

“(Mereka) mana mampu untuk bekerja mencari pendapatan yang lebih dalam keadaan begitu.

“Tetapi mereka masih berusaha sekadar yang mampu dan bukannya bersikap malas dengan hanya menunggu bantuan,” katanya.

Misman juga menjelaskan bahawa BSH bukan bantuan percuma tetapi merupakan skim pinjaman yang perlu dibayar balik.

Katanya, bantuan itu diberi agar peserta dapat menampung keperluan harian sementara menunggu hasil tanaman.

“Kalau ikutkan, bantuan itu pinjaman dan kita berhutang. Andai kata pendek umur, hutang itu akan ditanggung anak-anak.

“Tapi kalau bantuan dilupuskan, kami lagi susah sebab ramai anak-anak FELCRA masih belajar lagi dan perlukan duit untuk sambung pengajian,” katanya.

Seorang lagi peserta FELCRA, Maznah Ismail, 60, berkata, kebanyakan peserta sudah tidak mempunyai kudrat kerana menjangkau usia 50-an selain menghidap penyakit tua.

Katanya, disebabkan itu, mereka tidak boleh bekerja kuat untuk mencari duit lebih sementara menunggu hasil tanaman.

Malah katanya, kos sara hidup yang semakin meningkat juga membebankan keluarganya, sekali gus terpaksa mengharapkan bantuan kerajaan.

“Kita terpaksa bergantung kepada duit pinjaman walaupun ia tidak mencukupi tetapi masih mampu menampung keperluan harian.

“Memang kita tertunggu-tunggu duit bantuan masuk dan saya harap kerajaan tidak mansuhkannya,” katanya.

Beliau juga kecewa dengan perjanjian yang dimeterai bersama FELCRA dan RISDA berhubung bantuan yang diberikan.

Katanya, pada awalnya, perjanjian menyebut beliau akan menerima bantuan sara hidup sebanyak RM800.

“Selepas tiga tahun proses tanam semula berjalan, perjanjian itu diperbaharui semula dan saya hanya dibayar RM560.

“Alasannya, bayaran dari RISDA sudah tamat dan lebih sedih lagi, perjanjian baru ini dibuat secara tergesa-gesa pada pukul 12 malam sebelum hari raya puasa yang lalu,” katanya.

Ayub Mustafa, 52, juga peserta FELCRA Rompin meluahkan rasa yang sama dihadapi dua rakannya itu.

Katanya, beliau terpaksa menandatangani perjanjian itu kerana memerlukan duit ekoran sudah 10 bulan tidak mendapat bantuan sara hidup.

“Jika bantuan ini dimansuhkan, saya langsung tidak bersetuju.

“Ini sahaja cara untuk bantu kami teruskan hidup sehingga tanaman membuahkan hasil,” katanya. – NTHQiBord, 9 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.