SOALAN:

Bagaimanakah cara pembahagian yang afdhal untuk saya bahagikan daging korban ini?

JAWAPAN:

Menjawab persoalan di atas, kami menyatakan bahawa hal ini hendaklah terlebih dahulu melihat sama ada korban tersebut merupakan korban sunat atau korban nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban.

Jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan korban sunat, maka sunat juga baginya untuk memakan sebahagian daripada daging haiwan korban tersebut. Walau bagaimanapun, harus untuk dia mengagihkan kesemua daging korban tersebut kepada orang lain. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Jabir RA, bahawa Baginda SAW telah melakukan korban maksudnya:

Baginda SAW menyembelih 63 ekor unta, kemudian Baginda SAW memberikan kepada Ali Ibn Abi Talib untuk menyembelih apa yang terbaki. Lalu Baginda SAW menyuruh supaya bagi setiap satu unta itu dibahagikan kepada beberapa orang. Kemudian dimasukkan ke dalam periuk lalu dimasak. Setelah itu mereka berdua makan dagingnya dan minum kuahnya. Hadith riwayat Muslim: (1218)

Oleh itu, daging korban tersebut boleh dibahagikan kepada beberapa cara, antaranya:

i. Disunatkan untuk orang yang melakukan korban untuk mengambil 1/3 daripada daging korban tersebut untuk diri sendiri dan menyedekahkan 2/3 daripada bakinya kepada golongan fakir miskin.

ii.Atau, orang yang melakukan korban mengambil 1/3 daripada daging korban, dan mengagihkan 1/3 baki daripadanya kepada golongan fakir miskin, serta 1/3 lagi daripadanya diberikan sebagai hadiah kepada golongan kaya (seperti saudara-mara atau jiran-tetangga). Dalam hal ini, memberi sedekah kepada 2/3 kepada golongan miskin lebih afdhal daripada memberi hadiah kepada golongan kaya.

iii.Namun cara yang afdhal ialah, seseorang yang melakukan korban tersebut menyedekahkan keseluruhan daripada daging korban dan memakan sedikit sahaja daripadanya sebagai sekadar mengambil berkat. Hal ini kerana menyedekahkan keseluruhan daging tersebut merupakan amalan yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menjauhkan diri daripada sikap mementingkan diri sendiri. Manakala, memakan sedikit daripada daging tersebut sebagai beramal dengan zahir ayat al-Quran dan mengikut sunnah yang dilakukan oleh Nabi SAW. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Sebaliknya, jika sekiranya haiwan korban tersebut merupakan sebagai korban nazar atau korban wajib yang telah ditentukan, maka dia wajib menyedekahkan kesemua daging korban tersebut kepada golongan fakir miskin dan tidak harus untuk dia memakan sebahagian daripadanya. (Rujuk al-Mu’tamad Fi Fiqh al-Syafie: 485)

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.

Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW. – 8 Ogos 2019

S.S. DATO’ SERI DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI
Mufti Wilayah Persekutuan

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.