KERAJAAN tidak sepatutnya mengenakan cukai berganda susulan pelaksanaan levi pelepasan kepada pelancong yang mahu menaik penerbangan keluar dari Malaysia, kata seorang penganalisis ekonomi.

Najib Saahari berkata, Malaysia sudah mengenakan cukai lapangan terbang yang bertujuan bagi menampung kos penyelenggaraan dan kos penumpang yang menggunakan perkhidmatan itu.

Jelasnya, cukai lapangan terbang kini dikenali sebagai Cukai Perkhidmatan Awam (PSC) dan sebahagian kutipan cukai itu akan diambil oleh kerajaan.

“Kenapa mahu melaksanakan cukai pelepasan? Nampak bertindih kerana kita sudah ada cukai lapangan terbang.

“Jadi kenapa macam ada cukai berganda iaitu cukai lapangan terbang dan cukai pelepasan? Apa gunanya cukai pelepasan itu?” soalnya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Beliau juga menyifatkan alasan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk melaksanakan cukai itu bagi menggalakkan pelancongan tempatan sebagai alasan yang bertentangan dengan tujuannya.

“Ada yang kata cukai itu untuk pelancong asing saja tetapi jika anda (Anthony) mahu meningkatkan pelancongan tempatan, anda masih memerlukan pelancong asing.

“Sebagai contoh, Indonesia hanya mengenakan satu cukai sahaja iaitu cukai lapangangan terbang. Begitu juga Thailand.

“Jadi kenapa cukai pelepasan diperkenalkan? Jika kata mahu bayar kawalan trafik udara dan lain-lain, kita sudah bayar PSC,” katanya. – 10 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.