DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) kini dilaporkan digantung pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mulai 31 Julai lalu.

Notis penggantungan pendaftaran DPMM itu dikeluarkan ROS dan ditandatangani Pendaftar Pertubuhan, Masyati Abang Ibrahim, pada tarikh berkenaan.

Menerusi notis tersebut, DPMM dimaklumkan bahawa pendaftaran pertubuhan itu mungkin dibatalkan jika mereka gagal mengemukakan sebab memuaskan untuk tindakan sebaliknya kepada ROS.

Bagaimanapun, notis itu tidak menyatakan kesalahan atau pelanggaran peraturan dilakukan DPMM.

“Bagi menjaga kepentingan DPMM daripada terus melanggar peraturan pertubuhan, maka diperintahkan semua kegiatan pertubuhan ini digantung mulai 31 Julai 2019,” kata notis berkenaan.

Salinan notis penggantungan pendaftaran DPMM itu turut diserahkan kepada ROS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu.

Sementara itu, sumber DPMM yang dihubungi Malaysiakini turut mengesahkan mengenai penggantungan tersebut, namun tidak dapat mengulas lanjut.

Pada Jun tahun ini, seramai 18 bekas ahli DPMM didakwa mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan secara tidak sah mengikut tafsiran undang-undang pertubuhan Malaysia dan Perlembagaan DPMM.

AGM itu didakwa diadakan pada 15 Jun lalu.

Konflik dalaman kepimpinan DPMM menjadi tumpuan apabila 18 orang bekas anggotanya – termasuk timbalan presiden – didakwa bertindak menggunakan nama pertubuhan itu secara haram dan tidak sah.

Antaranya, menggunakan kepala surat DPMM dan membuat perjumpaan dengan seorang menteri kanan di Putrajaya sebagai anggota Majlis Eksekutif Dewan (MED) itu sedangkan keahlian dan jawatan mereka terlucut pada November lalu.

DPMM juga tahun lalu, menerusi timbalan presidennya, Syed Hussein Alhabshee, dan 17 anggota lain menyaman bekas presiden, Rizal Faris, dan setiausaha agung badan itu, Don Nazwin Don Najib, berhubung peruntukan RM5 juta Pejabat Perdana Menteri kepada DPMM sebelum pilihan raya umum ke-14 lalu.

Bagaimanapun, 18 individu terbabit mendakwa wang tersebut tidak dimasukkan ke akaun DPMM, sebaliknya disalurkan ke akaun Yayasan DPMM Pulau Pinang tanpa kelulusan majlis eksekutifnya. – 10 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.