RAKYAT hari ini ditipu lagi dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) berhubung ‘Projek Kereta Nasional ke-3’.

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Wee Ka Siong mendakwa Lee Guan Eng telah menipu wang rakyat dalam melaksanakan projek berkenaan.

Beliau berkata, dahulu Guan Eng memberitahu bahawa projek kereta nasional ke-3 itu tidak akan menggunakan duit rakyat tetapi kini sebaliknya telah berlaku.

“Berkali-kali beliau (Guan Eng) berjanji projek kereta nasional ke-3 tidak akan guna duit Rakyat.

“Dia (Guan Eng) jamin bahawa projek itu hanya akan guna duit swasta sahaja,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Ka Siong mempersoalkan di mana datangnya duit itu kalau bukan dari duit rakyat, masakan datang daripada sumbangan bapa beliau,veteran DAP, Lim Kit Siang.

“Kerajaan PH mengumumkan bahawa projek dianugerahkan kepada syarikat DreamEDGE Sdn Bhd.

“Syarikat Venturetech Sdn Bhd adalah pemegang saham terbesar syarikat DreamEDGE dan merupakan milikan penuh kepada MIGHT.

“Manakala, MIGHT pula adalah sepenuhnya (100%) milik kerajaan Malaysia.

“Kalau ia bukan duit Rakyat, adakah ini duit bapa Guan Eng, Lim Kit Siang?,” katanya.

Dalam pada itu, Ka Siong menyatakan bahawa projek kereta nasional itu memerlukan dana berbilion ringgit padahal syarikat yang dianugerahkan projek hanya mencatat pendapatan sebanyak RM20 juta malah pernah mengalami kerugian pada tahun 2018.

“Saya juga tengok DreamEDGE Sdn Bhd hanya ada modal berbayar RM12.4 juta sahaja setakat tahun 2018.

“Syarikat itu juga mencatat pendapatan RM20 juta sahaja dan mengalami kerugian untuk tahun 2018.

“Sudah tentu syarikat DreamEDGE tidak mempunyai kekuatan kewangan untuk menampung pelaburan sebesar kereta nasional ke-3 dan memerlukan suntikan dana secara besar-besaran,” katanya.

Ka Siong turut menambah, sudah tentu PH yang akan menjadi penyumbang terbesar syarikat itu kerana mempunyai saham terbesar.

“Seperti kes Lynas, Guan Eng telah menipu Rakyat.

“Bukan itu sahaja, kelulusan akauntan bertauliah, seni khat dan terkini projek kereta nasional ke-3 pula,” katanya. – 11 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.