PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri pada masa ini sebagai tiga kali lebih berat berbanding dahulu.

Hal ini kerana ‘kesalahan’ yang dibuat kerajaan terdahulu dan meninggalkan pelbagai beban kepadanya.

Kerajaan terdahulu adalah kerajaan pimpinan Barisan Nasional yang dikemudi Datuk Seri Najib Razak yang tewas dalam pilihanraya yang lalu.

Mahathir menjelaskan, ketika mengambil alih pemerintahan negara pada ketika beliau menjadi Perdana Menteri keempat, keadaan pentadbiran dan kewangan negara dalam keadaan yang bersih.

Selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018, dan dilantik menjadi Perdana Menteri sekali lagi, beliau mendakwa melalui liku sukar kerana negara ditinggalkan dalam keadaan pentadbiran yang ‘kotor’.

“Kita juga perlu bayar hutang yang dibuat oleh pemerintah terdahulu, sepatutnya (kini) kita dapat guna wang ini kalau ia (betul) dilabur tetapi wang ini hilang.

“Jadi kita terpaksa bayar hutang tetapi sumber asal dana kita sudah hilang. Jadi ini menjadi satu masalah yang berat untuk kita.

“(Kali ini) Tiga kali lebih berat lagipun usia saya telah lanjut dan saya perlu kerja seberapa kuat yang boleh kerana saya janji saya akan letak jawatan. Jadi saya punya masa mungkin tiga tahun, mungkin dua tahun.

“Dalam masa itu, saya perlu habiskan kerja yang memerlukan lapan tahun, (ke) 10 tahun, saya kena berlari lebih cepat,” katanya.

Mahathir ditemuramah dalam satu wawancara bertajuk “Mahathir Bicara Ulama dan Jokowi: Catatan Najwa” bersama personaliti media Indonesia Najwa Shihab, yang dimuat naik menerusi YouTube.

Ketika artikel ini dinaikkan, video wawancara itu telah tular dan mendapat ‘view’ sebanyak 600,000. – 11 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.