SERING kali kita melihat jalan dakwah ini payah, penuh rintangan dan dalam pada itu kita juga sering lupa bagaimana Allah SWT menghadirkan pelbagai kisah Nabi untuk kita hayati, jadikan inspirasi dan motivasi dalam meneruskan legasi perjuangan ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya Dialah yang memilih kamu (untuk mengerjakan suruhan agamanya); dan Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim.

Ia menamakan kamu: ‘orang Islam’ semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (mengenai yang benar dan salah).

Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan berilah zakat, serta berpegang teguhlah kamu kepada Allah! Dialah Pelindung kamu.

Maka (Allah yang demikian sifat-Nya) Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.” (Surah al-Hajj, ayat 78)

Umat Islam di negara ini perlu memahami ayat akhir surah Al-Hajj ini sebagai motivasi dalam perjuangan.

Nabi Ibrahim diuji oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya sendiri namun Allah gantikan Nabi Ismail dengan haiwan kibas.

Nabi Ibrahim juga diuji oleh Allah SWT untuk meninggalkan anak dan isteri di padang pasir dan insan yang diuji oleh Allah SWT untuk berhadapan bapanya yang mencipta berhala kemudian diuji dengan dihumban ke dalam api.

Related image

Ini sebenarnya gambaran Allah SWT mahu kita meyakini bahawasanya Allah SWT yang telah memberi kemudahan kepada Nabi Ibrahim melalui segala ujian.

Sesetengah daripada kita berasakan sudah cukup Islam apabila ibu dan bapa kita beragama Islam, sedangkan tidak menghayati perjuangan Nabi Ibrahim hampir 100 tahun untuk anak cucunya mengenali Islam.

Semoga kekuatan jiwa Nabi Ibrahim membawa nama Islam kepada kita benar-benar dapat dihayati dengan penuh ketenangan dan kesejahteraan.

Jadikan kisah Nabi Ibrahim sebagai inspirasi untuk kita terus berjuang pada jalan Allah SWT. – NTHQiBORD, 11 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.