SEBUAH pertubuhan profesional Islam melancarkan petisyen bagi mendesak kumpulan pendesak Cina, Dong Zong diharamkan.

Professional Muslim Community (PMC) melancarkan petisyen itu pada 11 Ogos selepas Dong Zong dilihat sengaja mencetuskan polemik berpanjangan isu seni jawi dan khat yang akan dilaksanakan di sekolah vernakular bermula tahun depan.

Presiden PMC Hazwan Mohamad berkata, rakyat Malaysia yang berbilang bangsa tidak perlukan sebuah pertubuhan rasis dan cauvinis seperti Dong Zong.

Jelasnya, Dong Zong adalah pertubuhan yang merencatkan kemajuan ketamadunan bangsa Malaysia yang lebih baik.

“Sudah 65 tahun pertubuhan rasis dan cauvinis ini bertapak.

“Sampai bila kita perlu menunggu dan membenarkan pertubuhan seperti ini terus menerus berada di Malaysia tanah pertiwi tercinta ini?

“Semakin lama kita membenarkan mereka ini berada di sini, semakin terkebelakanglah kita dalam menghidupkan identiti negara kita yang sebenar,” katanya.

Dong Zong terus berdegil untuk membantah pelaksanaan pembelajaran seni khat dan jawi walaupun Kementerian Pendidikan sudah melonggarkan syarat apabila menjadikan ia sebagai subjek pilihan. – 12 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.