PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendiriannya yang mengatakan Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) rasis.

Menurutnya Dong Zong hanya mempertahankan satu komuniti dan lupa bahawa ini adalah negara pelbagai kaum.

“Anda lihat sendiri latar belakang Dong Zong, yang langsung tidak pernah berjuang untuk Malaysia, tetapi hanya untuk satu kaum saja. Ini negara majmuk berbilang kaum, anda harus memikirkan perasaan orang lain.”

“Apabila berbuat sesuatu, kita harus memikirkan apa yang orang lain akan kata. Jika mereka tidak gembira, mungkin kita harus berbuat sesuatu.”

“Sebab itu saya kata Dong Zong ini sangat rasis, yang terlampau mengabdikan diri untuk mempertahankan hak kaumnya saja,” katanya

Tun Mahathir turut menggambarkan ketika zamannya bersekolah tidak ada masalah untuk semua kaum belajar di tempat sama.

“Ada Benggali, Cina, India dan Melayu, semuanya ok. Tetapi jika ikutkan Dong Zong, anak-anak Cina tidak seharusnya bergaul dengan kaum lain. Untuk berada di satu perhimpunan pagi menggabungkan ketiga-tiga sekolah, seolah-olah ‘anathema’ untuk mereka,” katanya.

Beliau sebelum ini pernah mencadangkan konsep sekolah wawasan yang meletakkan ketiga-tiga jenis sekolah iaitu sekolah kebangsaan, SJKC dan SJKT dalam suatu kawasan namun ditolak oleh Dong Zong.

Dalam isu petisyen yang dilancarkan oleh Armada Bersatu bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman Dong Zong, Tun Mahathir berkata perkara itu
terserah kepada pihak polis.

Hal ini kerana jika tindakan Dong Zong berterusan cuba menggalakkan orang ramai bergaduh antara satu sama lain, ia melanggar undang-undang,

“Kita ada kebebasan untuk bersuara, tetapi kita juga sentiasa sensitif untuk tidak mempengaruhi mereka yang berlainan bangsa untuk melawan antara satu sama lain,” katanya.

Sebelum itu Exco Armada, Muzzammil Ismail menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

Selain Armada, Gerakan Pengundi Sedar (GPS) turut mengadakan petisyen bagi menggesa kerajaan mengharamkan Dong Zong. – 13 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.