SETIAUSAHA Badan Perhubungan Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi menyifatkan Lim Kit Siang hanya berani bercakap dari jauh sahaja.

Che Abdullah berkata demikian selepas Kit Siang gagal menghadiri program pidato pendakwah walaupun menerima undangan khas daripada pihak penganjur.

“Penasihat DAP, Lim Kit Siang patut menutup mulut dan berhenti mengkritik Dr. Zakir Naik selepas gagal menghadiri program pidato itu.

“Kit Siang boleh disifatkan hanya berani bercakap dari jauh tetapi apabila diberi peluang untuk berhujah dengan Zakir secara baik, beliau mensia-siakannya,” katanya.

Jelas Che Abdullah selaku Pengarah Program Dr Zakir Naik: The Kelantan Tour 2019 berkata, Kit Siang telah dijemput secara rasmi ke program berkenaan oleh pihaknya.

“Jemputan itu sepatutnya diambil peluang oleh YB LKS (Kit Siang) untuk menyatakan apa-apa ketidakpuasan hati dan beliau boleh menyoal Zakir secara berdepan.

“Saya menyarankan beliau bawa pembantu bersama sekiranya perlu untuk berhujah.

“Saya juga memastikan pihak urusetia menyediakan kerusi untuknya di bawah khemah VVIP bersama Menteri Besar, barisan pimpinan negeri, Ahli Parlimen dan ADUN.

“Lama kami menanti tapi beliau tak kunjung tiba,” katanya.

Semalam, Kit Siang telah menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Zakir kerana mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan itu, Kit Siang mendakwa Zakir telah membandingkan nasib diterima penganut Hindu di Malaysia dengan umat Islam di India ketika berucap di Kelantan.

Che Abdullah yang juga Ahli Parlimen Tumpat mengulas kenyataan tersebut dengan memberitahu Kit Siang sepatutnya menyuarakan pandangan beliau itu ketika program berlangsung.

“Alangkah baiknya jika apa yang dikemukakan Kit Siang hari ini (semalam), dikemukakan terus kepada Dr. Zakir Naik pada malam tersebut kerana peluang dibuka seluas-luasnya kepada beliau untuk berhujah.

“Bukannya mengkritik dari jauh sebagaimana yang dilakukan selama ini.

“Takut apa YB Ku?,” ujarnya. – 13 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.