PERSATUAN Patriot Nasional (Patriot) hari ini ‘menyertai kumpulan anti Zakir Naik’ apabila mula mempersoalkan kedudukan penceramah Islam terkenal, Dr Zakir Naik di Malaysia.

Kumpulan anti Zakir Naik lain yang lantang di Malaysia adalah Hindraf, G25 dan parti politik DAP yang bersungguh mahukan penceramah Islam itu keluar dari Malaysia.

Presiden Patriot, Datuk Mohamed Arshad Raji, dalam satu kenyataannya bahawa, penceramah itu tidak boleh menyampaikan hujah perbandingan agama dan menyentuh isu antarabangsa di negara ini.

Beliau berkata, rakyat di negara ini telah belajar bahawa membanding-bandingkan sesuatu agama adalah tindakan yang dilarang sama sekali (tabu).

Mohamed Arshad juga menyebelahi kumpulan pendesak berbangsa India dan meminta Dr Zakir supaya tidak mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia keturunan India di negara ini.

“Rakyat Malaysia yang berketurunan India setia kepada negara.

“Mereka turut banyak menyumbang bersama bangsa lain berkhidmat dengan anggota keselamatan dalam mempertahankan raja dan negara.

“Tindakan Zakir mempersoalkan kesetiaan rakyat Malaysia keturunan India adalah silap dan jahil tentang rakyat negara ini,” katanya.

Dengan nada tegas, beliau juga meminta Zakir agar tidak menggembar- gemburkan tentang layanan kerajaan China terhadap umat Muslim Uyghur di negara itu.

Terdahulu, DAP yang diwakili Lim Kit Siang mahu pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan dikeluarkan Dr Zakir.

Kit Siang mendakwa Dr Zakir mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat India di Malaysia apabila membandingkan nasib diterima penganut Hindu di Malaysia dengan umat Islam di India. – 13 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.