Pemuda Bersatu mahu NGO pro-DAP, Dong Zong diharamkan

0

DESAKAN untuk mengharamkan pertubuhan pro-DAP, Dong Zong semakin kuat apabila Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong satu petisyen bagi menjayakan usaha tersebut.

Petisyen dalam talian ‘Rakyat Malaysia Desak Dong Zong Diharamkan’ dilancarkan oleh Gerakan Pengundi Sedar (GPS) terus mendapat sokongan daripada warganet apabila telah mengumpulkan 91,328 tandatangan setakat jam 2.15 petang ini dan jumlahnya terus meningkat dari semasa ke semasa.

Pemuda Bersatu menyokong petisyen atas talian itu bagi mengumpul sokongan menggesa pengharaman kumpulan pendesak Cina pro-DAP, Dong Zong atau Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia.

Sebelum ini exconya, Muzzammil Ismail menyifatkan Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

“Sebelum ini, mereka lantang menjadi persatuan yang mendesak kerajaan terutama (Menteri Pendidikan) Dr Maszlee (Malik) untuk mengiktiraf UEC (Sijil Pendidikan Bersepadu).

“Hari ini Dong Zong menekan kerajaan menggunakan pelbagai tuntutan. (Tindakan) Menggerakkan satu petisyen membantah tulisan jawi adalah suatu tindakan tersusun yang amat jahat dalam menggugat warisan Malaysia, kami rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama,” katanya.

Pada 6 Ogos lalu, 20 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pro-DAP turun berkumpul bagi menyerahkan memorandum menyokong pengenalan seni khat dan tulisan jawi di sekolah kepada wakil Dong Zong.

Kemudian pada 10 Ogos, Pengerusi Dong Zong, Tan Tai Kim berkata, akan menggerakkan kempen mengumpul tandatangan untuk menegaskan bantahan terhadap pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad melabelkan Dong Zong sebagai rasis kerana mendakwa langkah kerajaan memperkenalkan tulisan jawi di sekolah sebagai satu bentuk Islamisasi.- 13 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.