PEMIMPIN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof menyifatkan pendapat Charles Santiago sebagai kurang cerdik dalam mengkritik Tun Dr Mahathir Mohamad, lapor Utusan Malaysia.

AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) itu merujuk kepada pendapat Santiago yang mengatakan Perdana Menteri membuat keputusan tanpa merujuk Kabinet, khusus dalam isu seni khat.

Redzuan yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah mempertahankan Tun Mahathir dalam keputusannya dalam isu seni khat.

“Dia (Santiago) mesti ingat (bahawa) Tun Mahathir telah diangkat menerusi proses demokrasi dan diberi kepercayaan untuk menjalankan tanggungjawab serta (ada barisan menteri) berpasukan di Kabinet.

“Kurang cerdik pendapat (Santiago) untuk Tun merujuk (setiap keputusan Kabinet) kepada majlis Pakatan Harapan (PH).

“(Ini bermakna) tak perlulah ada jawatan PM kalau mengikut pendapat Santiago.

“Santiago patut tahu, PM selalu mengambil kira pendapat daripada menteri Kabinet sebelum membuat sebarang keputusan. Dan semua keputusan adalah kolektif dan konsensus,” tegas Mohd. Redzuan.

Menurut Redzuan Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago belum matang dalam pengetahuannya pada selok belok urusan pentadbiran negara sehingga sanggup menyelar kepimpinan Tun Mahathir.

Redzuan berkata seandainya Santiago dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam sesuatu syarikat, `sah dia akan merujuk kepada stafnya untuk membuat keputusan’.

Kritikan Santiago itu kemuncak kepada rasa tidak puas hatinya terhadap beberapa keputusan Tun Mahathir yang disifatkan membelakangkan kabinet.

Malah Santiago menyifatkan Tun Mahathir sering membuat keputusan secara berseorangan dan seolah-olah mahu menunjukkan beliau berkuasa walaupun datang daripada parti kecil.

Antara keputusan Tun Mahathir yang dilihat bertentangan dengan kehendak DAP termasuklah isu seni khat, isu Zakir Naik, Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), Statut Rom dan kilang Lynas.

Kerajaan DAP-PH belum pun cukup dua tahun memerintah, tetapi tiada sepanjang tempoh tersebut, tiada persefahaman dalam membuat keputusan penting.
Hal ini menyebabkan sering berlaku perubahan selepas sesuatu keputusan dibuat.

Keadaan ini memburukkan lagi imej kerajaan DAP-PH hari ini. – 13 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.