TINDAKAN Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mengaitkan tulisan jawi dengan buku lucah adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Tindakan Shu Qi itu bukan sahaja merendahkan martabat tulisan Jawi malah membangkitkan kemarahan rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.

Atas sebab itu Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Fairuz Jamaludin mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Shu Qi mengikut Akta Hasutan 1948.

“Saya membantah sekeras-kerasnya tindakan YB DAP ini yang sedang bermain api perkauman dan langsung tidak menjaga sensitiviti kaum lain dalam negara berbilang kaum.”

“Saya mendesak pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap YB Kluang mengikut Akta Hasutan 1948 kerana dengan jelas dan terang telah mengeluarkan kata-kata yang berbaur hasutan.”

“Tindakan YB Kluang yang tidak sedar diri ini bagai “Kaduk Naik Junjung”. Lupa diri dan asal usul,” kata Fairuz dalam suatu kenyataan.

Menurut Fairuz, Ahli Parlimen Kluang itu perlu tahu bahawa Seksyen 9 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 menyebut “Tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi: dengan syarat bahawa ini tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.”

Bagi Fairuz, sudah jelas bahawa penggunaan tulisan Jawi selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Tidak perlu dipertikaikan lagi.

Katanya, kenyataan Shu Qi akan meninggalkan kesan luka kepada 20.4 Juta (69.3%) penduduk Bumiputera di Malaysia. Sekurang-kurangnya, Ahli Parlimen Kluang patut fikir mengenai perasaan 40,345 (42%) pengundi Melayu di Kluang.

Menurut Fairuz lagi kenyataan Shu Qi yang menghina tulisan Jawi akan menjarakkan lagi ruang perpaduan antara kaum di Malaysia seperti “Menyimbah Minyak Ke Dalam Api Yang Sedang Membara.”

Isu seni khat dan jawi ini ditimbulkan beberapa minggu lalu, pemimpin DAP dan Dong Zong begitu lantang menyatakan bantahan.

Malah, secara tidak langsung tidak menghormati keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Bukan itu sahaja, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mengubah keputusan awal yang dibuat oleh Tun Mahathir, ketika Perdana Menteri berada di Jepun.

Oleh itu, isu yang sepatutnya selesai sebelum ini, kini kembali hangat dan hanya Bersatu yang dilihat ada pendirian. PKR dan Amanah lesu dan lemah di bawah telunjuk DAP. – 13 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.