TIMBUL persoalan besar dalam keterangan yang diberikan saksi ke-57 dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Pegawai penyiasat SPRM, Rosli Hussain memberi keterangan kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa beliau pernah bertemu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil pada 2015.

Dalam pertemuan itu, beliau mengambil keterangan kedua-dua individu tersebut dalam satu kes yang tidak dinyatakan kepada mahkamah.

Rosli bertemu dengan Nik Faisal sebanyak dua kali pada 17 dan hujung bulan Oktober 2015 di Jakarta, Indonesia untuk mengambil keterangan bekas pegawai SRC International itu.

Kemudian pada 27 November 2015, Rosli bertemu pula dengan Jho Low untuk tujuan yang sama di Abu Dhabi.

Bagaimanapun selepas kenyataan diambil, SPRM tidak beri sebarang bon jaminan atau dilepaskan dengan jaminan agensi antirasuah itu terhadap Jho Low dan Nik Faisal.

Sebaliknya, SPRM ‘terpedaya’ dengan jaminan yang diberikan kedua-dua suspek penting kes SRC International itu yang berjanji akan pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan.

bila seseorang ada kes atau kertas siasatan dibuka dan dipanggil sebagai saksi, SPRM akan mengambil keterangan seperti biasa.

Tapi apabila melibatkan suspek dalam satu-satu kes, seperti Jho Low dan Nik Faisal, pihak berkuasa seperti polis dan SPRM akan mengemukakan pertuduhan selepas mengambil keterangan suspek.

Jadi dalam kes Rosli ini, bagaimana SPRM boleh percaya dengan jaminan dua orang suspek yang memainkan peranan penting dalam kes penyelewengan SRC International?

Situasi ini sama ada menunjukkan SPRM cuai dalam menjalankan tugas atau tertipu dengan janji Jho Low dan Nik Faisal.

Sebagai rekod, Nik Faisal melarikan diri ke luar negara menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 7 Mei 2018 dan pasportnya dibatalkan pada 27 Mei 2019 serta waran tangkap dikeluarkan.

Jho Low pula melarikan diri ke luar negara pada 29 Mei 2018 melalui lapangan terbang Subang.

Pasportnya juga dibatalkan dan waran tangkap dikeluarkan pada 16 Jun 2018.

Dalam pada itu, Rosli juga memaklumkan kepada mahkamah bahawa beliau tahu mengenai lokasi Jho Low dan meminta bantuan Bukit Aman dan pihak berkuasa Hong Kong untuk membuat tangkapan.

Beliau berkata, Bukit Aman telah meminta bantuan pihak berkuasa Hong Kong menerusi satu emel selepas Jho Low dan rakannya Eric Tan Kim Loong, dipercayai berada di Kelab Maggie & Rose Family Members di Teluk Repulse, Hong Kong.

Untuk pengetahuan, Teluk Repulse merupakan lokasi kediaman golongan elit.

Bagaimanapun, Rosli berkata pihak berkuasa Hong Kong tidak pernah menahan Low.

Rosli memberi keterangan dalam sesi pemeriksaan utama dengan pendakwa raya dalam kes SRC International yang melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Najib, 66, didakwa atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram membabitkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang awam untuk kepentingan peribadi. – NTHQiBord, 13 Ogos 2019.

1 COMMENT

  1. SPRM tidak sama sekali cuai dlm tindakan yg mereka ambil pada 2015.
    Sbb ketika itu tangan & kaki pegawai sprm diikat oleh kekuasaan tok jib.
    Sudah pasti juga Hakim sangat maklum kepada perkara ini.
    Tapi yg aneh nya apabila kekuasaan tok jib hilang, masih ramai yg sanggup menyokong tok jib sebagai pemimpin yg maksum.
    TERMASUK YG ADA phd & bertaraf ulama.
    Inilah tanda2 yg digambarkan dalam AlQuran bahwa dunia ini sudah hampir sampai ke penghujung.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.