DATUK Seri Mohd. Redzuan Yusof menjadi pemimpin terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyelar tindakan pertubuhan pro-DAP, Dong Zong membantah isu pelaksanaan silibus jawi dan seni khat di sekolah vernakular.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata, tindak tanduk pihak terbabit yang menentang khat Jawi menunjukkan mereka tidak menghormati keperluan menggunakan bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perlembagaan.

Polemik pembelajaran khat Jawi dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) yang terus berlarutan sehingga Dong Zong menyelarnya sebagai permulaan Islamisasi mencetuskan satu fasa “inilah akibatnya bangsa bukan Melayu yang enggan menjunjung Perlembagaan”.

“Bangsa Melayu terlalu berkompromi mengikut kehendak kaum yang terlalu rasis. Sudah tiba masanya bangsa Melayu bangkit mempertahankan budaya Melayu sebelum dimusnahkan pihak terbabit.

“Kita telah terlalu banyak beri muka. Negara lain tidak sebaik macam kita. Sistem pelajaran wajib digunapakai mengikut bahasa rasmi negara itu. Kita tidak begitu…berlembut sahaja.

“Marilah kita sama-sama perkasakan kembali budaya Melayu mengikut perlembagaan,” kata Menteri Pembangunan Usahawan itu menurut Utusan Online.

Isu jawi dan seni khat berlanjutan sejak bulan lalu susulan keputusan Kementerian Pendidikan melaksanakan silibus itu dalam subjek Bahasa Melayu Tahun 4 di sekolah jenis Tamil dan Cina.

Dong Zong paling lantang bersuara menyatakan bantahan sehingga menyebabkan Kementerian Pendidikan beralah dan menjadikan silibus itu sebagai pilihan kepada murid.

Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad akhirnya menyifatkan Dong Zong sebagai rasis dan tidak suka kepada Melayu ekoran siri bantahan yang dibuat oleh NGO pro-DAP itu. – 14 Ogos 2019.

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.