NAIB Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa Dong Zong rasis.

“Jarang saya sehaluan pandangan dengan Tun Mahathir. Tetapi kali ini saya bersetuju. Kenyataan beliau bahawa Dong Jiao Zong adalah pertubuhan rasis, sangat tepat dan berasas,” katanya dalam suatu kenyataan media.

Menurut Khalid Inilah pandangan terpendam kebanyakan parti politik, pertubuhan, individu berpengaruh dan kebanyakan masyarakat Melayu.

Katanya, sokongan kepada pandangan Tun Mahathir ini bersandarkan kepada beberapa alasan.

“Pertama, kalau kita semak, selama berpuluh-puluh tahun, pendidikan Cina di negara ini dilaksanakan tanpa sebarang sekatan dari kerajaan. Dari bahasa pengantar, kurikulum, kaedah pengajaran dan segala-galanya, semuanya tiada elemen nasional dan kepentingan watan.”

“Semuanya adalah tentang pendidikan, budaya, citra dan aspirasi yang tidak selari dengan kemajmukan Malaysia. Sekali pun begitu, kerajaan tetap memberi muka. Dana dan infrastruktur dari kerajaan juga bertambah saban tahun,” katanya.

Namun, bagi Khalid malangnya, baru sahaja kerajaan ingin memperkenalkan setakat enam muka surat pendidikan seni khat tulisan jawi dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu, mereka melatah, melompat dan dengan pantas melabelkan ikhtiar tersebut sebagai usaha Islamisasi yang sistematik.

“Melabelkan pendidikan khat sebagai Islamisasi adalah kenyataan yang xenophobic, Islamofobik malah ‘Melayufobik’.”

“Punca kepada penentangan melulu tersebut hanya satu – prejudis dan kebencian yang menebal kepada Islam, Melayu dan warisan negara,” tegas Khaled.

Alasan Kedua menurut Khalid, mereka lupa mereka tinggal di Malaysia – tempat yang mereka gelar tanah air secara berpilih-pilih dan bermusim. Negara ini adalah negara yang majmuk dengan multibudaya.

Soal Khalied, Apakah sangat jelik untuk belajar tentang budaya dan tradisi bangsa lain sebanyak 6 lembar dalam tempoh 11 tahun tempoh sekolah kebangsaan?

“Ketiga, selama wujudnya Dong Jioa Zong ini, selama itulah saya tidak pernah mendengar sumbangan mereka ke arah mengukuhkan pendidikan nasional.”

“Yang hanya mereka perjuangkan adalah pendidikan Cina dengan segala karakter kecinaannya. Bukan bersumberkan aspirasi nasional,” kata Khaled.

Terdahulu, Gerakan Pengundi Sedar (GPS) dan Armada Bersatu telah mengadakan petisyen bagi menuntut diharamkan Dong Zong.

Semalam, Tun Mahathir menyerahkan kepada pihak polis untuk menentukan sama ada Dong Zong patut diharamkan atau tidak. – 14 Ogos 2019

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.